>>>>>

Gambar 'Spider-Man' Tangkap Lelaki Penyamun Tersebar




DUBLIN, Ireland - Seorang penghibur jalanan berpakaian kostum adi wira Spider-Man mencetus fenomena di laman jaringan sosial selepas dia dirakam bergaduh dengan seorang lelaki yang cuba menyamun duitnya.
Konfrontasi hampir tiga minit itu tersebar pantas daripada muka surat Facebook milik seorang saksi kejadian tersebut ke beberapa akhbar Ireland sebelum ia mengungguli laman YouTube tempatan.
Seorang saksi yang merakamkan video itu, Robert Bolster berkata, pergaduhan itu bermula di kaki lima sebuah kawasan beli-belah utama di sini selepas lelaki berkenaan cuba mencuri wang 'Spider-Man' tersebut.
Wang itu merupakan pendapatan yang diperoleh daripada para pelancong yang bergambar bersamanya.
Rakaman yang dibuat pada Selasa lepas itu menunjukkan lelaki tersebut menumbuk kepala 'Spider-Man' lebih dua kali.
Namun, 'Spider-Man' itu berjaya menjatuhkan penyamun itu dan menghalangnya daripada melarikan diri.
Polis yang berada di lokasi kejadian menahan kedua-dua mereka sehingga siasatan berhubung kes tersebut selesai dilakukan. - AP
0 Komentar untuk "Gambar 'Spider-Man' Tangkap Lelaki Penyamun Tersebar"

 
Copyright © 2014 Tabek Puang - All Rights Reserved
Template By Catatan Info