Ganesan
(depan, kanan) sedang menguruskan mayat adiknya di Hospital Tuanku
Ja'afar, semalam. Gambar kecil: Mangsa, Mhittren Ezhuthachan
SEREMBAN -
“Ibu, tolong saya,” itu kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) terakhir
yang sempat dihantar M Mhittren Ezhuthachan, 21, kepada keluarganya
sebelum ditemui mati dalam kawasan semak berhampiran tangki air di Taman
Mahkota Hill, Lenggeng, Nilai kira-kira jam 7 petang kelmarin.
Menurut abang
mangsa, M Ganesan, 30an, gara-gara tidak sedap hati dengan SMS diterima
pada Khamis lalu sekitar jam 12.30 pagi itu menyebabkan ibunya bergegas
membuat laporan polis lebih kurang setengah jam kemudian.
“Hancur luluh
hati kami sekeluarga apabila dimaklumkan punca kematian Mhittren
berkemungkinan akibat dibunuh,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat
Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini, semalam.
Menceritakan
semula saat-saat kehilangan adiknya, Ganesan berkata, lazimnya Mhittren
akan balik awal setiap kali keluar rumah. Bagaimanapun, sebaliknya yang
berlaku pada Rabu lalu.
“Dia keluar
lebih kurang 9 malam kerana mahu berjumpa teman rapat yang tinggal di
taman perumahan sama dengan kami. Namun, dia masih tidak pulang walaupun
sudah mencecah tengah malam.
“Lebih
merisaukan, panggilan kami langsung tidak berjawab selepas ibu menerima
SMS terakhir daripada Mhittren,” katanya yang berharap individu
bertanggungjawab atas kematian adiknya akan dihadapkan ke muka
pengadilan.
Sementara itu,
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdullah Roning berkata, mangsa
yang bekerja di sebuah kilang memproses air mineral dan menetap di Taman
Ulu Beranang, Lenggeng, Nilai dijumpai dalam keadaan terlentang,
kira-kira satu kilometer dari jalan
utama Lenggeng - Broga.
“Pencarian
dilakukan pihak polis berdasarkan laporan dibuat oleh ibu mangsa yang
memberitahu anaknya tidak pulang ke rumah selepas keluar sekitar jam 9
malam dengan menaiki motosikal Honda EX5, Rabu lalu.
“Siasatan awal
kita menemukan luka pada kening kanan mangsa, dipercayai dipukul
menggunakan sejenis objek tumpul. Selain itu, terdapat kesan lebam pada
bahagian dada dan luka seakan-akan melecet pada ketiak kanan mangsa,”
katanya.
Menurut
Abdullah, mayat mangsa kemudian dibawa ke HTJ untuk bedah siasat,
sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian.
“Setakat ini,
polis telah menahan reman seorang lelaki selama tujuh hari dalam usaha
mengenal pasti motif pembunuhan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302
Kanun Keseksaan,” katanya. - Sinar Harian
0 Komentar untuk "SMS Akhir Sebelum Ditemui Mati"