gambar hiasan |
Kuala Lumpur – Seorang pekerja hotel yang isterinya sarat mengandung dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas tuduhan merogol adik ipar tirinya yang berusia 10 tahun, tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 26 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azwarnida Affandi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol kanak-kanak berusia 10 tahun tujuh bulan itu di dalam tandas rumah di Projek Perumahan (PPR) Pekan Kepong, di sini, antara April dan Mei tahun lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad tidak menawarkan jaminan atas alasan mangsa mempunyai hubungan keluarga dengan tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Dony Abdullah yang mewakili Mohd Nabil memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan isteri tertuduh sedang sarat mengandung manakala mangsa ketika ini berada di Perak.
“Malah, ketika anak guam ditahan polis dia melawat isterinya yang sarat mengandung di Hospital Ampang,” katanya.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh dijamin dan menetapkan 23 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, dalam satu kes berasingan di mahkamah sama, seorang pekerja kontrak berusia 41 mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan melakukan persetubuhan dengan anak tirinya, minggu lalu.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang berusia 26 itu di dalam bilik sebuah rumah di Setapak, di sini, jam 2 pagi, 14 Jun lalu.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan ke atas tertuduh dengan 22 Julai ini ditetapkan untuk sebutan semula kes, lapor Hmetro.
0 Komentar untuk "Perkosa Adik Ipar Ketika Isteri Sedang Sarat Mengandung"