IPOH - Pengarah terkenal, Mamat Khalid mengalami kerugian lebih RM100,00 apabila kediaman teres dua tingkat miliknya di Lebuh Hillview, Taman Ipoh Jaya Timur, di sini dipecah masuk sekumpulan tiga lelaki, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, disedari isteri beliau, Hasmah Hassan, 50, ketika bangun untuk solat Subuh.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), ketiga-tiga penjenayah itu memasuki kediaman berkenaan pada jam 3.30 pagi melalui tingkap bahagian tepi rumah yang diumpil.
Hasmah berkata, antara barangan yang dilarikan termasuklah sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton, kamera antik milik Mamat Khalid, iPad, gajet mainan mudah alih (PSP) dan wang tunai RM500.
”Sebaik dapat masuk rumah ini, mereka kemudian mengambil kunci pintu utama rumah dan pagar serta kunci kenderaan yang berada dalam mangkuk di atas piano berhampiran pintu utama rumah.
“Ketika itu, hanya saya dan dua anak iaitu Mohd Khalid Adam, 19, dan Nurhassanah, 14, berada di rumah, sementara Mamat Khalid sedang menjalankan penggambaran filem di Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI), Tanjung Malim,” katanya pada sidang media, di sini.
Difahamkan, ia merupakan kejadian kedua, sejak mendiami rumah berkenaan, 10 tahun lalu.
Hasmah berkata, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kampung Rapat pada jam 11 pagi tadi.
Katanya, siasatan lanjut tidak menemui sebarang kesan cap jari, namun pihaknya sudah menyerahkan rakaman CCTV kepada polis dalam bentuk cekera padat untuk siasatan.
"Saya memang terkejut dengan kejadian ini dan hanya mampu menangis,” katanya.sumber
0 Komentar untuk "Mamat Khalid Dirompak, Rugi Lebih RM100,000"