>>>>>

Ridhuan Tee Sokong Wardina: Kuliah Agama Perlu Jauh Daripada Unsur Mistik

Wardina Safiyyah Fathullah gesa kerajaan menyiasat kandungan ceramah Don Daniyal Don Biyajid kerana khuatir masyarakat Islam disogokkan dengan sumber cerita‎ tanpa rujukan. – Gambar ihsan Facebook Wardina Safiyyah Fathullah, 21 April, 2014.

Dr Ridhuan Tee Abdullah bersependapat dengan pandangan selebriti televisyen Wardina Safiyyah Fathullah yang mahu ceramah atau pun kuliah agama dijauhkan daripada unsur mistik.

Pensyarah kontroversi itu berkata pendakwah muda pada hari ini terlalu taksub mahu menjadi selebriti TV walaupun ilmu agama yang ditimba belum mencukupi.

“Kurangkan bercakap jika ia bukan bidang kita. Jika kurang pasti, perlu merujuk kepada pakar. Tidak boleh memberi pendapat semberono. Akhirnya menjadi bahan ketawa dan menjatuhkan reputasi sendiri,” katanya melalui kolumnya hari ini di akhbar Sinar Harian.

Wardina yang juga ahli Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) baru-baru ini mengkritik penceramah agama terkenal Don Daniyal Don Biyajid apabila mendakwa kandungan ceramah yang disampaikan tidak sahih dan terlalu taksub pada kisah mistik serta tidak berpandukan pada Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad.

Beliau menggesa kerajaan menyiasat kandungan ceramah tersebut kerana khuatir masyarakat Islam disogokkan dengan sumber cerita‎ tanpa rujukan.

Dalam akaun Facebook itu, Wardina menegaskan tegurannya itu dibuat kerana sayang pada agama. Setiap kandungan memerlukan hujah, dalil dan disiplin apatah lagi mistik tidak pernah dianggap sebahagian daripada Islam.

Selebriti itu menulis status tersebut dan turut berkongsi video ceramah ustaz tersebut‎ bertajuk kompilasi hadis palsu dan pendustaan Don Daniya‎l yang berdurasi hampir 20 minit itu.

Video itu memaparkan dakwaan Ustaz Don bahawa Imam Mahdi berasal dari Tanah Melayu.

Ridhuan berkata jika seseorang penceramah itu tidak tahu tentang sesuatu perkara tidak perlu mengupasnya dengan lebih lanjut yang akhirnya akan ditertawakan orang lain.

Beliau menamakan fenomena itu sebagai selebriti agamawan segera, berikutan publisiti media, program realiti TV serta penampilan yang dibuat-buat bagi menarik perhatian.

“Lebih teruk lagi, ada yang membawa cerita tidak masuk akal, semata-mata untuk menarik perhatian orang ramai dan menjadikan mereka menangis.

“Lebih menyeramkan ada yang buat-buat suara ‘gatal’ dan mendayu-dayu. Lebih dahsyat lagi, ada sudah berani demand meletakkan sekian harga untuk ceramah yang ‘biasa-biasa je’. Kami yang lama ini pun tidak sebegitu berani,” katanya.

Pengacara rancangan realiti Pencetus Ummah itu memberi cadangan agar pendakwah yang sedemikan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan membuat pengkhususan dalam bidang akademik.
Katanya, ia selaras bagi mengelak seseorang pendakwah itu menggunakan pendekatan mengafirkan orang lain, mendakwa pihak lain salah dan memberikan pendapat yang pelik tanpa melakukan penyelidikan lebih mendalam.

“Bagi yang tiada ijazah, berpada-pada apabila bercakap atau menulis. Bukan apa, apabila mendengar ceramah yang penuh dengan cerita tidak masuk akal, nampak sangat orang sebegini tidak mengaji, kemudian mengaku mendapat ijazah dari Al-Azhar.

“Tidak ada masalah untuk beraksi di media, malah ia amat dituntut dalam perjalanan dakwah moden hari ini. Tetapi cerminlah diri dahulu, kemudian baharulah beraksi,” katanya.

Wardina di Facebook turut memuat naik video ceramah Ustaz Don bahawa Imam Mahdi berasal dari Tanah Melayu.

"Saya bagi contoh buka kitab hadis akhir zaman, Imam Mahdi ada penyokong Bani Tamin dari timur. Ulama mempersoalkan Bani Tamin yang diterjemahkan menjadi Tanah Melayu. Ini diskusi antara ulama. Bukan saya yang kata. Saya hanya sampaikan," kata Don.

Don merupakan pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) berkelulusan dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. – 21 April, 2014.

“Nasihat saya kepada asatizah (ustaz) ‘segera’ ini, jangan terlalu obses untuk menjadi selebriti, sabar. Latih diri dahulu dengan permainan politik lensa.
0 Komentar untuk "Ridhuan Tee Sokong Wardina: Kuliah Agama Perlu Jauh Daripada Unsur Mistik"

 
Copyright © 2014 Tabek Puang - All Rights Reserved
Template By Catatan Info