>>>>>

Isu 'Berdress' Pendek, Legging : Hanya Itu Baju Yang Ada... - Bapa Shila


Sejak berjaya menembusi persada muzik di China, ada saja khabar gembira dari penyanyi berbakat besar Shila Amzah sekaligus menjadi kebanggaan kita rakyat Malaysia.

Seperkara yang membuat kita semua berbangga dengan anak gadis kepada penyanyi popular 80-an, ND Lala ini ialah bukan hanya berbekal suara lunaknya tetapi meskipun tampil berhijab Shila mampu meraih sokongan penuh ribuan peminat di China.

Namun baru-baru Shila dikritik hebat oleh peminat-peminat tanah air gara-gara dia tampil dengan gaun pendek dengan seluar ketat (legging) dari rona kulit yang kelihatan seolah-olah penyanyi itu mendedahkan auratnya biarpun bertudung.

"Tentang pemakaian saya pada hari tersebut sebenarnya bukan pun satu isu. Pada ketika itu abah ada bersama saya. Sebenarnya dari segi imej dan penampilan saya serahkan pada pihak pengurusan saya. Mereka yang buat keputusan yang terbaik untuk diri saya", kata Shila semasa ditemui pada sidang media sempena mengumukan konsert solonya, bertempat di Menara Kuala Lumpur, semalam.

Begitupun, belum sempat Shila meneruskan penjelasannya, ND Lala yang turut berada di sisinya meminta izin mencelah untuk menerangkan lebih lanjut kepada pihak media mengenai apa yang terjadi sebenarnya,

ND Lala.ND Lala.
"Sebenarnya sejak Shila menyertai pertandingan 'I Am a Singer', Alhamdulillah dia menerima banyak undangan untuk program TV di Beijing. Setakat ini sudah lima jemputan dari program TV yang dihadirinya. Jadi pada malam itu, pihak stesen TV meminta untuk dia membuat semula rakaman untuk satu lagi lagu. Masa tu dah pukul 1.30 pagi dan penonton semua dah balik.

"Bagaimanapun timbul masalah pakaian kerana baju yang dibawa telah digunakan pada persembahan lain. Pada jam 1.30 pagi, kami tak ada banyak masa untuk balik semula ke hotel yang memakan masa 1 jam perjalanan dan kami tak mahu membuat kru produksi menunggu. Jadi Shila terpaksa memakai baju yang ada di wadrobe produksi. Hanya kostum itu saja yang ada. Memang itu saja. Seluar..., memang ada warna itu saja. Jadi, salahkan saya bukan dia.

"Di sini juga saya ingin ambil kesempatan untuk menyatakan, lihatlah Shila sebagai ikon penyanyi bukan ikon muslimah. Untk melabelkan dia sebagai ikon muslimah, banyak perkara berat yang dia tak boleh bawa nanti", jelas ND Lala dengan panjang lebar.

Konsert di Shanghai Dulu Baru KL

Sementara itu, berita baik buat seluruh Shilalas (gelaran peminat), Shila bakal mengadakan konsert di Shanghai,China pada 16 Ogos depan manakala peminat di Malaysia akan dihiburkan pada 13 September 2014. Persembahan di Kuala Lumpur akan diadakan di Mega Star Arena di sini pada pukul 8 malam.

.
.
"Ini adalah impian saya yang akhirnya bakal terlaksana. Biarpun akan mengadakan konsert di Shanghai terlebih dahulu namun saya berjanji akan memberikan persembahan paling istimewa buat peminat di Malaysia nanti," katanya.

Lebih membanggakan apabila kedua-dua konsertnya itu nanti akan menggunakan tenaga sepenuhnya produksi Malaysia di mana Jennifer Thomson dan Helen Yap akan bertindak sebagai penerbit konsert.
Malah katanya, dia juga akan menyampaikan lebih 20 buah termasuk lagu-lagu berbahasa Malaysia, Mandarin dan Inggeris. Shila juga akan menampilkan penyanyi bertaraf antarabangsa dalam konsert itu sebagai tetamu undangan.

"Siapa artis jemputan saya tidak boleh beritahu sekarang dan peminat kena tunggu pada hari persembahan," jelasnya.

Konsert Cinta Shila Amzah diterbitkan oleh Mega Ultimate Sdn Bhd dengan kerjasama Shila Amzah Entertainment Sdn Bhd. Tiket dijual pada harga RM268, RM138 dan RM88. Tarikh penjualan tiket dalam sidang media khas yang akan diadakan pada Mei depan. http://www.malaysiandigest.com
0 Komentar untuk "Isu 'Berdress' Pendek, Legging : Hanya Itu Baju Yang Ada... - Bapa Shila"

 
Copyright © 2014 Tabek Puang - All Rights Reserved
Template By Catatan Info