>>>>>

Dulu Orang Kata Saya Gila Kutip Tempurung Kelapa, Saya Cuma Pekakkan Telinga


"Dulu orang kata saya gila sebab pergi ke kedai atau kedai santan pungut tempurung kelapa" itulah kata-kata Khairul Azizi Ramli, 39, yang memiliki segulung Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perancangan Bandar dan Wilayah dari Universiti Teknologi Mara (UITM),

Dahulunya beliau yang berbekalkan van kecil menuju ke setiap kedai dan kedai santan untuk memperoleh tumpurung kelapa secara percuma dan kini beliau merupakan seorang usahawan yang berjaya.

Beliau kini mempunyai perusahaan kilang arangnya sendiri atas jenama Gibs Arang.

Katanya dahulu dia terpaksa memekakkan telinga apabila ada antara penduduk menyifatkannya sebagai seorang yang sudah tidak siuman.

“Sebenarnya saya tahu orang pandang pelik kepada saya bila saya kutip tempurung kelapa di kedai-kedai. Malah, ada juga yang mengejek dan memerli dengan pelbagai ungkapan.

“Namun, bila usaha saya itu menunjukkan kejayaan demi kejayaan, ada yang datang kepada saya dan meminta maaf. Katanya, pernah satu ketika dahulu, dia kata saya gila.

“Mana tidaknya, kerja saya hanya kutip tempurung dan tidak pernah dibuat orang. Namun, kata-kata itu tidak menjadi bisa dan nanah buat saya kerana saya berjaya hari ini adalah bukti kepada usaha penat jerih selama ini,” kata pemilik Green Impiana Brothers Solution dipetik laporan Sinar Harian.



Memilih untuk menjalan perniagaan arang, Azizi pada awalnya menghabiskan masa kira-kira setahun hanya untuk belajar membuat adunan arang yang terbaik.

“Sebelum ini, saya pernah bekerja dengan syarikat kontraktor lebih dua tahun, namun jiwa saya bukan di situ.

“Sehinggalah saya berjumpa dengan seorang yang berbangsa Cina keluar dari hutan menaiki kenderaan mewah, lalu saya cuba memasuki kawasan itu dan melihat beberapa pekerja Indonesia sedang membuat arang.

“Sejak dari itu, saya nekad untuk memasarkan produk ini dan saya banyak merantau ke negara lain terutamanya Indonesia bagi mendapatkan ilmu tentang arang,” katanya yang kini memiliki kilang di Kampung Bukit Mak Lipah, Melor.

Beliau kini sudah memiliki berbelas-belas orang pekerja di kelantan dan Kuala lumpur di mana pasaran arang kayu bakau, kayu gelam dan tempurung kelapa itu turut diperluaskan ke negeri lain termasuk Terengganu serta Johor.

“Setakat ini, kilang saya mengeluarkan beberapa jenis arang termasuk karbon aktif, arang briket, bio gibs dan arang bakau atau balak.

“Untuk di Kelantan pula, hampir semua syarikat penapisan air memilih arang tempurung (karbon aktif) dari kilang saya untuk menghasilkan produk mereka,” katanya yang bermula dengan modal kecil-kecilan sebelum mengembangkan syarikat sehingga tahap sekarang.

Tambahnya, sebelum menerima bantuan tiga mesin daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), dia hanya menggunakan dua mesin biasa.

“Alhamdulillah, dengan bantuan Kada sebanyak RM10,000, dengan pemberian tiga unit mesin mini iaitu mesin ayak, mesin adun dan mesin untuk menjadikan ketulan arang, perniagaan saya bertambah maju dan lebih mudah.

“Tempahan mesin baharu berskala sederhana bernilai RM70,000. Insya-ALLAH, 70 peratus daripada harga mesin itu akan dibayar oleh Kada melalui geran pemadanan.

“Kini, saya dalam proses untuk mengembangkan kilang saya. Dulu, kilang saya dibuat dengan atap nipah, namun setelah dua tahun, ia mula reput, ditambah pula dengan bencana banjir hujung tahun lalu,” katanya yang sempat mengalihkan mesin yang ada daripada ditenggelami banjir.




Walaupun sudah berjaya dalam bidang dan perniagaan ini, beliau tidak kekok atau kedekut untuk berkongsikan ilmu kepada orang lain untuk menghasilkan arang.

“Saya mengajar orang lain untuk membuat arang tempurung dan saya beli daripada mereka. Secara tidak langsung, ia memberikan punca pendapatan sampingan kepada orang lain.

“Ada juga pekerja kedai yang mengambil langkah menghasilkan sendiri arang tempurung dan menjualnya kepada saya untuk dipasarkan,” katanya yang kini mampu mencecah pendapatan hingga RM8,000 sebulan.

Menurutnya, dia tidak pernah menyesal dengan tindakannya, malah amat gembira kerana mampu membuktikan kepada ibu bapanya dia mampu berjaya walaupun bukan dalam bidang pengajian dipelajarinya di universiti. - Siakapkeli.my
0 Komentar untuk "Dulu Orang Kata Saya Gila Kutip Tempurung Kelapa, Saya Cuma Pekakkan Telinga "

 
Copyright © 2014 Tabek Puang - All Rights Reserved
Template By Catatan Info