>>>>>

Wanita Melahirkan 8 Minggu Awal Atas Kapal Terbang Di Udara


SEBUAH pesawat China Airlines yang dalam perjalanan dari Bali, Indonesia ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) terpaksa buat pendaratan cemas apabila seorang wanita melahirkan anak dalam penerbangan, baru-baru ini.
Wanita yang merupakan penumpang warga Taiwan itu dikatakan mengalami pecah air ketuban enam jam selepas pesawat tersebut berlepas dan terpaksa melahirkan bayi perempuan lebih lapan minggu awal daripada jangkaan.

Difahamkan, kejadian itu dibantu oleh seorang doktor, Angelica Zen yang secara kebetulan turut menaiki penerbangan Taiwan berkenaan dan wanita tersebut berjaya melahirkan bayi itu 30,000 kaki di udara.

Berikutan itu, juruterbang China Airlines telah memaklumkan kepada ibu pejabat syarikat penerbangan dan meminta izin mendarat kecemasan di Lapangan Terbang Ted Stevens Anchorage di negeri Alaska, AS itu.
Bayi tersebut lahir 30 minit sebelum pesawat mendarat sambil diiringi dengan tepukan gemuruh penumpang lain sebaik mereka turut mendengar tangisan pertama daripada bayi ‘bertuah’ berkenaan.

Ini adalah pengalaman seumur hidup. Tidak semua pelancong asing boleh mengalami kejadian seperti ini,” kata seorang penumpang dalam pesawat itu yang enggan dikenali kepada media tempatan.
Sebaik sahaja mendarat, bayi dan ibunya yang terbang berseorangan itu telah dibawa ke sebuah hospital tempatan untuk pemeriksaan lebih lanjut. Kedua-duanya dilaporkan sebagai sihat.
Manakala, penerbangan tersebut yang sepatutnya memakan masa 19 jam itu telah mengalami tiga jam kelewatan setibanya mendarat di lapangan terbang antarabangsa LAX di California itu.
 
Anchorage, bandar raya terbesar di Alaska yang terletak di sebelah barat laut Kanada dan timur laut Rusia sebenarnya jika diukur berjarak sejauh kira-kira 3,770 kilometer dari utara Los Angeles.

Memetik laporan China Post, Pentadbiran Aeronautik Awam mengesahkan kerakyatan bayi itu adalah berdasarkan sijil kelahiran dikeluarkan hospital di Anchorage kerana dia dilahirkan di ruang udara AS.
– Agensi/
0 Komentar untuk "Wanita Melahirkan 8 Minggu Awal Atas Kapal Terbang Di Udara"

 
Copyright © 2014 Tabek Puang - All Rights Reserved
Template By Catatan Info