Pesawat Malindo Air 0D1027 dari Kota Kinabalu, Sabah bersama 110 penumpang selamat mendarat di Landasan 3 klia2 kira-kira jam 12.05 tengah malam.
Peristiwa bersejarah itu turut disaksikan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi; Pengerusi Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dan Pengarah Urusan MAHB Tan Sri Bashir Ahmad.
PESAWAT Malindo Air dari Kota Kinabalu selamat mendarat di KLIA2. FOTO Mohd Husni Mohd Noor
Terdahulu, Abdul Aziz turut menyambut ketibaan dan pelepasan penumpang, serta
mengagihkan cenderahati kepada mereka.
Dalam pada itu, sebanyak empat syarikat penerbangan iaitu Malindo Air; Cebu Pacific Airways; Lion Air dan TigerAir memulakan operasi penerbangan hari ini manakala, syarikat penerbangan tambang murah tempatan, AirAsia pula akan mula beroperasi pada 9 Mei ini.
KLIA2 mampu mengendalikan sehingga 45 juta penumpang setahun, berbanding Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) yang hanya mengendalikan 15 juta penumpang setahun.
Dilengkapi kemudahan berkelas dunia, KLIA2 yang terletak 1.5 kilometer dari terminal utama KLIA menyediakan pelbagai kemudahan dan keselesaan kepada penumpang dan pengunjung termasuk 163 kedai, jambatan udara, hotel transit dengan 80 bilik, bilik menunggu tetamu khas dan penyediaan landasan ketiga yang pertama seumpamanya di rantau ini.
KLIA2 turut menampilkan hab pengangkutan pelbagai untuk bas dan teksi serta kereta api Express Rail Link (ERL) untuk kemudahan penumpang dan orang ramai.
Kemudahan lain termasuk sistem sistem pengendalian bagasi automatik, zon sokongan, kargo dan kompleks penerbangan domestik dan sebuah kompleks letak kereta yang luas.
0 Komentar untuk "Penerbangan Sulung Pesawat Malindo Rasmi KLIA2"