>>>>>

Kerajaan Brunei Tangguh Perlaksaan Hukuman Hudud


BANDAR SERI BEGAWAN - Brunei mengambil keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sebatan dan rejam yang terdapat dalam hukum hudud negara itu yang sepatutnya dilaksanakan pada hari ini.
Bagaimanapun, 'majlis perisytiharan' syariah akan teruskan seperti yang dirancang pada 30 April untuk melancarkan fasa pertama kod keseksaan baharu.

Agensi berita AFP melaporkan, Penolong Pengarah Unit Perundangan Islam Brunei, Jauyah Zaini yang dipetik melalui akhbar Brunei Times berkata, pelaksanaan hukum itu telah ditangguhkan disebabkan oleh beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, dalam kenyataan itu beliau tidak menjelaskan ataupun memberi tarikh baharu kepada pelaksanaan hukuman tersebut tetapi ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Pemerintah Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah kini dalam lawatan ke Singapura dan ketiadaan baginda, yang merupakan penggerak kepada pelaksanaan hudud di Brunei, menjadi antara sebab pelancaran penguatkuasaannya ditangguhkan.

Negara Brunei sebelum ini telah memutuskan untuk melaksanakan hukum hudud di bawah kod jenayah baharu yang membawa pelaksanaan hukuman potong tangan ke atas pencuri dan rejam terhadap kesalahan zina.

Namun, keputusan itu telah mendapat tentangan dan kritikan hebat daripada pelbagai media Barat yang menyifatkan pelaksanaan hukum itu sebagai bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. - AFP
0 Komentar untuk "Kerajaan Brunei Tangguh Perlaksaan Hukuman Hudud"

 
Copyright © 2014 Tabek Puang - All Rights Reserved
Template By Catatan Info