>>>>>

Kita Bomohkan Air Ke Singapura Supaya Mereka Serah Diri Dan Bersunat, Kata Ridhuan Tee

Pensyarah kontroversi Dr Ridhuan Tee Abdullah (gambar) hari ini sekali lagi menyelar kegiatan ritual dalam usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang sejak 8 Mac lalu, namun kali ini kritikannya ditujukan kepada Singapura.

Pendakwah bebas itu berkata jika perbuatan bomoh dan ritual begitu mujarab, maka usaha yang perlu dilakukan adalah dengan membomohkan air yang disalur kepada Singapura.


“Jika bomoh kita terlalu mujarab, kita bomohkan air yang disalurkan kepada Singapura. Apabila diminum, mereka pun akan tunduk kepada kita dan menyerah diri untuk bersunat.

“Serta membeli air kita dengan kadar harga semasa, bukan membeli dengan harga 0.03 sen per 1,000 gelen?” katanya menerusi kolumnya hari ini di akhbar Sinar Harian.

Minggu lalu, Ridhuan dalam ruangan sama menyifatkan perlakuan raja bomoh dalam usahanya mencari pesawat hilang, MH370 hanya akan lebih menyesatkan umat Islam jika ada yang terpedaya dengan upacara ritualnya itu.

Katanya, jika upacara sedemikian berlaku ketika zamannya hendak memeluk Islam suatu masa dahulu pasti hajatnya itu tidak kesampaian.

"Kebimbangan saya, jika ditakdirkan bomoh itulah yang menjumpai MH370 itu nanti, semakin ramailah umat Islam yang akan percaya kepada bomoh daripada menumpahkan ketaatan kepada Allah.
"Jika ditakdirkan saya melihat perbuatan umat Islam dalam mencari MH370 sebegini, sudah tentu saya tidak jadi memeluk Islam," katanya.

Ridhuan berkata jika apa yang dilakukan bomoh itu mujarab maka pasti ramai yang akan menyerahkan nasib kepada golongan tersebut dan menjadi kaya raya.

“Jika ditakdirkan berlaku lagi insiden seperti MH370 pada masa depan, jangan memanggil bomoh untuk mencari. Jika Islam itu boleh diubati dengan menggunakan bomoh, sudah tentu umat Islam tidak perlu bersusah payah atau ada yang merempat hari ini,” katanya.

Beliau berkata Nabi Muhammad adalah raja segala bomoh dan mempunyai mukjizat namun tidak menggunakan sewenang-wenangnya untuk mendesak golongan kafir untuk memeluk Islam.
“Mengapa Rasulullah tidak menggunakan mukjizat yang ada untuk membomohkan semua bukan Islam supaya tunduk dan menurut kata-kata Baginda?

“Atau dengan bahasa mudah membomohkan mereka supaya segera memeluk agama Islam dan tidak perlu bersusah diuji dan dicuba?” katanya.

Selain mengulas mengenai isu kehilangan MH370, Ridhuan turut menyeru pemimpin negara agar kembali ke jalan Allah selagi diberikan ruang dan kesempatan.
“Kepada pembuat keputusan dan pembesar negara, gunakan kuasa mencari keredhaan Allah selagi ada kuasa.

“Hak ini dijamin Perlembagaan. Kita bimbang, apabila tidak ada kuasa nanti, baru hendak menyesal. Jangan leka ketika berkuasa, hanya bertaubat setelah pencen. Buruk rasanya,” katanya. – 24 Mac, 2014.
0 Komentar untuk " Kita Bomohkan Air Ke Singapura Supaya Mereka Serah Diri Dan Bersunat, Kata Ridhuan Tee"

 
Copyright © 2014 Tabek Puang - All Rights Reserved
Template By Catatan Info