BEIJING – Seorang petani di Gansu nampaknya cuba mengembalikan konsep
menjual susu zaman dulu kala apabila membawa lembunya ke bandar di
Zhangye dan menawarkan penduduknya susu asli sebenar.
Strategi perniagaan lelaki itu nampaknya laris apabila penduduk
Zhangye berpusu-pusu membeli susu asli diperah segar dari lembunya.
China News melaporkan ada penduduk tempatan lebih menggemari
susu seperti itu berbanding yang sudah diproses dan dijual dalam kotak
kerana menganggapnya lebih sihat.
Malangnya, pelbagai bakteria seperti Salmonela, E coli dan Listeria antara kuman yang mampu menjangkiti seseorang jika minum susu tidak dipasteur, menurut Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA).
Mungkin petani dari Gansu ini mendapat idea untuk menjual susu
lembunya selepas melihat kejayaan gembala kambing di wilayah Shaanxi
yang membawa haiwan ternakan mereka ke Xi’an menaiki van untuk menjual
susunya dengan harga 10 yuan (RM6.90).
Secara kebetulan, kebanyakan pengguna China kurang mempercayai jenama
susu tempatan disebabkan pelbagai skandal pencemaran kimia dikaitkan
dengan bahan minuman itu sejak beberapa tahun.
Seterusnya ini membuka ruang untuk usahawan yang kreatif membawa
haiwan ternakan mereka ke bandar besar, malah ada juga yang terbang ke
Australia semata-mata mahu membeli susu formula bayi untuk dijual semula
di China. – Agensi/myMetro Online
0 Komentar untuk "Petani China Perah Susu Lembu Tengah Bandar"