Apa saja yang
disebut sebagai keajaiban memang tidak pernah gagal menarik perhatian
orang ramai. Lebih-lebih lagi apabila kisah di sebaliknya sukar
dijelaskan. Malah, banyak sebenarnya fenomena menakjubkan berlaku di
dunia ini yang kurang diketahui ramai biarpun berlaku hampir saban
tahun.
Salah satu fenomena yang tidak kurang menariknya adalah kejadian laut
terbelah yang berlaku di Pulau Jindo, wilayah Jeollanam-do di kawasan
barat daya Korea Selatan.
Pulau ini adalah yang ketiga terbesar di negara itu dan terletak
berhampiran pulau Jejudo dan Geojodo.
Bayangkan dalam tempoh sejam, anda dapat menyaksikan kekuasaan Ilahi
apabila lautan yang sebelum ini dipenuhi air dan secara tiba-tiba
terbelah dan membentuk laluan sementara sepanjang 2.8 kilometer dan
selebar 40 hingga 60 meter.
Kejadian itu pasti mengingatkan kita terhadap kisah Nabi Musa yang
‘membelah laut’ bagi membawa pengikutnya yang taat kepada Allah SWT
melarikan diri daripada kekejaman Firaun.
Namun, kejadian moden belahan laut di Jindo itu lain ceritanya yang
berkait rapat dengan faktor semula jadi iaitu berlakunya pertembungan
arus surut secara serentak yang menyebabkan paras air surut sebanyak
enam hingga tujuh meter.
menghasilkan laluan bagi menghubungkan dua daratan yang sebelum ini
ditenggelami air.
Ia juga lazimnya berlaku pada jam 5 atau 6 petang dan disambut menerusi
pesta besar-besaran yang dikenali ‘Jindo Yeongdeung Festival’ atau Pesta
Laut Terbelah Jindo.
Malah Pesta Laut Terbelah Jindo ini selalunya diadakan tiga kali setahun
iaitu pada Mac atau Mei serta Julai. Bagaimanapun, sambutan luar biasa
pelancong tempatan dan asing yang mencecah 400,000 orang membanjiri
pesta itu menyebabkan pihak berkuasa memutuskan untuk turut meraikan
pesta berkenaan pada April.
Bagi mendapatkan pemandangan paling menarik laut terbelah dan membentuk
laluan, orang ramai boleh menikmatinya sama ada dengan memanjat bukit
atau berjalan-jalan sendiri di laluan itu.
Malah, siapa yang mahu melepaskan peluang melihat detik-detik keajaiban
dan tidak hairanlah sebaik lautan itu terbelah, orang ramai berpusu-pusu
melintasi laluan itu dan meraikan rakan dari arah bertentangan
berikutan penyatuan daratan kepulauan Jindo dan Modo. Tidak kurang pula
yang mengambil kesempatan mencari tiram, rumpai dan hasil lautan lain.
“Inilah keajaiban yang tidak mungkin disaksikan di tempat lain.
Dalam sekelip mata, laut terbelah dan mendedahkan dasarnya. Tiada
perkataan dapat menggambarkan ketakjuban melihat hidupan laut seperti
kerang, kepah dan hidupan marin yang sebelum ini hidup di dasarnya,
tiba-tiba timbul,” kata pelancong tempatan, Cho Eun-Jun yang dipetik
media tempatan, baru-baru ini.
Hakikatnya, tidak ramai yang tahu mengenai kewujudan fenomena itu
sehinggalah pada 1975, apabila seorang duta Perancis ketika itu, Pierre
Randi, melawat Korea Selatan dan menulis mengenainya dalam sebuah akhbar
negaranya.
Namun, seperti juga banyak kejadian aneh lain, ada kisah dongeng atau
kepercayaan rakyat tempatan di sebalik fenomena itu. Ia dikaitkan dengan
sebuah kampung di Jindo yang diserang harimau yang menyebabkan penduduk
berlari ke pulau Modo untuk berlindung.
Malangnya, seorang wanita tua, Pong, yang tidak berdaya tertinggal.
Dalam keadaan serba tersedak dia memohon bantuan Dewa Laut, yang
kemudian memisahkan laut dan membantu wanita malang itu lari daripada
haiwan liar berkenaan.
Apabila laut itu terbelah, ramai penduduk yang berlari ke Modo,
memainkan gong dalam usaha mereka mencari wanita berkenaan.
Dia, bagaimanapun meninggal dunia tetapi sebelum mati, wanita berkenaan
sempat membisikkan: “Doaku dimakbulkan. Laluan laut terbuka dan aku
dapat melihat kamu semua. Kini, harapanku sudah terlaksana. Aku boleh
meninggal dengan tenang.”
Nama asal daerah itu, Hodong, kemudian ditukar kepada Hoedong, bermakna
‘Kampung Orang yang Kembali’, bagi mengingati kisah Pong.
Selain di Korea, kejadian itu turut dipopularkan di Jepun, selepas
penyanyi wanitanya, Dendo Yomishi, menghasilkan lagu fenomena Jindo itu
pada 1996.
INFO: Laut terbelah Jindo
*Berlaku dua kali setahun iaitu sama ada Mac atau Mei serta Julai.
*Secara saintifik, kejadian itu disebabkan penurunan mendadak paras air
laut akibat pertembungan air pasang dan surut secara serentak.
*Ia juga disebabkan tarikan graviti antara bulan dan matahari.
*Fenomena itu berlaku selama sejam dan mendedahkan sebahagian dasar
lautannya yang membentuk laluan menghubungkan daratan Jindo dan pulau
sekitarnya.
*Menjadi antara acara tarikan utama pelancong ke Korea Selatan, setiap tahu
Sumber: Diarishare
0 Komentar untuk "Subhanallah! Fenomena Laut Terbelah Di Korea "