>>>>>

Petani China Perah Susu Lembu Tengah Bandar



BEIJING – Seorang petani di Gansu nampaknya cuba mengembalikan konsep menjual susu zaman dulu kala apabila membawa lembunya ke bandar di Zhangye dan menawarkan penduduknya susu asli sebenar.
Strategi perniagaan lelaki itu nampaknya laris apabila penduduk Zhangye berpusu-pusu membeli susu asli diperah segar dari lembunya.

China News melaporkan ada penduduk tempatan lebih menggemari susu seperti itu berbanding yang sudah diproses dan dijual dalam kotak kerana menganggapnya lebih sihat.

Malangnya, pelbagai bakteria seperti Salmonela, E coli dan Listeria antara kuman yang mampu menjangkiti seseorang jika minum susu tidak dipasteur, menurut Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA).

Mungkin petani dari Gansu ini mendapat idea untuk menjual susu lembunya selepas melihat kejayaan gembala kambing di wilayah Shaanxi yang membawa haiwan ternakan mereka ke Xi’an menaiki van untuk menjual susunya dengan harga 10 yuan (RM6.90).

Secara kebetulan, kebanyakan pengguna China kurang mempercayai jenama susu tempatan disebabkan pelbagai skandal pencemaran kimia dikaitkan dengan bahan minuman itu sejak beberapa tahun.

Seterusnya ini membuka ruang untuk usahawan yang kreatif membawa haiwan ternakan mereka ke bandar besar, malah ada juga yang terbang ke Australia semata-mata mahu membeli susu formula bayi untuk dijual semula di China. – Agensi/myMetro Online
0 Komentar untuk "Petani China Perah Susu Lembu Tengah Bandar"

 
Copyright © 2014 Tabek Puang - All Rights Reserved
Template By Catatan Info