>>>>>

Kerana Babi, Guinness Tarik Rekod Dunia Nasi Goreng Terbesar



BEIJING – Guinness World Records terpaksa menarik balik pengesahan sijil telah diberikan kepada pihak penyelenggara acara masak nasi goreng terbesar dunia yang diadakan di wilayah Jiangsu, China baru-baru ini.

Langkah drastik ini dilakukan setelah terbongkar rahsia sejumlah 150 kilogram nasi goreng telur Yangzhou yang terkenal itu kemudian dimasukkan ke dalam sebuah trak untuk dihantar kepada beberapa ladang ternakan babi.

Walhal menurut media tempatan, antara syarat penting untuk memecahkan rekod dunia tersebut, keseluruhan 4,192 kilogram nasi goreng yang dimasak pada 22 Oktober itu perlu habis dimakan setelah ia siap dihidangkan.

Wakil Guinness World Records di China menyatakan, dalam peraturan memang sudah ditegaskan bahawa semua makanan yang hendak disenaraikan ke dalam rekod itu harus habis dimakan oleh manusia dan bukan haiwan.

Justeru, kejayaan penganjur acara tersebut untuk cuba memecahkan rekod lama nasi goreng paling besar di dunia secara rasmi dinyatakan sebagai gagal,” kata Pengarah Pemasaran Guinness China, Sharon Yang kepada media.

151025233300-china-largest-fried-rice-exlarge-169

Beberapa pegawai kerajaan tempatan di Yangzhou mengesahkan, mereka membenarkan sekurang-kurangnya 150 kilogram nasi goreng terkenal China itu diangkut keluar ke ladang ternakan babi kerana sudah dirasakan basi.

Acara berkenaan diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-2,500 kota timur China itu serta dianjurkan oleh Persatuan Masakan Cina Sedunia yang melibatkan penyertaan 300 orang tukang masak dan empat tan beras.

Agensi berita rasmi China News Service melaporkan, ramai pengguna media sosial menyelar tindakan penganjur menyiarkan rakaman video menunjukkan ratusan kilogram nasi itu dipunggah ke dalam trak untuk ladang babi.

Akhbar milik pemerintah, People’s Daily mendedahkan, acara memasak nasi goreng Yangzhou atau disebut Yeung Chow itu teruk dikritik kerana membazirkan kos 140,000 yuan (kira-kira RM70,000) habis sia-sia begitu sahaja.

Kegagalan China itu bermakna rekod nasi goreng terbesar di dunia masih lagi dipegang oleh Persekutuan Kulinari Turki dengan 3,150 kilogram dicatatkan di Bolu, Turki pada 27 September 2014. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
0 Komentar untuk "Kerana Babi, Guinness Tarik Rekod Dunia Nasi Goreng Terbesar"

 
Copyright © 2014 Tabek Puang - All Rights Reserved
Template By Catatan Info