>>>>>

Bida Plat Kereta Lucu Trend Unik Di Hong Kong




BEIJING – Plat-plat pendaftaran kereta yang lucu sebenarnya adalah suatu perkara biasa di Hong Kong sejak pengenalan Skim Penanda Pendaftaran Kenderaan Peribadi diperkenalkan oleh pihak kerajaan pada 2006 lalu.

Ia hasil satu program yang membolehkan orang ramai untuk memilih sendiri kombinasi abjad dan nombor unik sebelum mereka mengemukakan taruhan dengan bidaan minimum ialah HK$5,000 (kira-kira RM2,750).

Acara lelongan berlangsung 12 kali setahun atau sebulan sekali sahaja dan ini bermakna penduduk Hong Kong yang berminat kena bangun awal pada hari Sabtu minggu terakhir untuk berkumpul di sebuah dewan khas.
Mereka beramai-ramai sanggup datang ke dewan yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Hong Kong bagi mengemukakan taruhan untuk plat lesen impian dengan maksimum 8 aksara termasuk huruf dan nombor.

Stesen penyiaran milik pemerintah Singapura, Channel NewsAsia melaporkan, jabatan tersebut bagaimanapun tidak membenarkan penggunaan abjad I dan O kerana bimbang ia tidak dapat dibezakan dengan angka 1 dan 0.

Pembida juga dilarang membida huruf Q atas faktor sama dan proses penawaran itu diadakan berasingan daripada acara lelongan nombor plat cantik yang dilaksanakan juga pada Sabtu tetapi ia dua kali setiap bulan sejak 1973.

 

 


Antara pernah menarik perhatian ialah plat pendaftaran APPLE HK menerima bidaan HK$38,000 (kira-kira RM20,900) dan plat PLAYER yang kemudian dijual pada harga dua kali ganda daripada jumlah tersebut.

Bidaan unik lain adalah HK$387,527 (kira-kira RM213,712) bagi plat YF yang pernah dimenangi oleh seorang lelaki tempatan dengan mendakwa huruf YF itu sebenarnya adalah sebagai singkatan daripada namanya sendiri.

Plat M0D1 pula pernah dijual pada harga HK$4,650 (kira-kira RM2,558) yang dibida oleh seorang peniaga Hong Kong dengan mendakwa dirinya merupakan peminat setia Perdana Menteri India sekarang, Narendra Modi.

Bagi seorang peniaga plat kereta tempatan, Chan Ming Choy pula, beliau kini sedang cuba menjual plat MR RIGHT pada harga HK$178,262 (kira-kira RM98,059) yang dimenanginya kepada sesiapa yang berminat.
Setakat ini, rekod bidaan paling tinggi ialah 1 LOVE U dengan harga HK$1.4 juta (kira-kira RM770,000) yang dijual menerusi acara lelongan kebajikan dan melibatkan 105 plat unik lain pada 24 September 2006 lalu.

Apa yang pasti, pemerintah Hong Kong setakat ini telah meraih HK$310 juta (kira-kira RM170.5 juta) hasil daripada penjualan plat-plat pendaftaran unik kenderaan itu, sejak skim tersebut diwujudkan sembilan tahun lalu.

Pendapatan itu bagaimanapun dimanfaatkan Jabatan Pengangkutan untuk menyara hidup 987 warga Hong Kong yang kurang berkemampuan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
0 Komentar untuk "Bida Plat Kereta Lucu Trend Unik Di Hong Kong"

 
Copyright © 2014 Tabek Puang - All Rights Reserved
Template By Catatan Info