>>>>>

Buat Majlis Perceraian Selepas Tahu Kahwin Suami Orang


Pasangan suami isteri lengkap berpakaian moden pengantin memotong kek sebagai tanda simbolik mereka sudah bercerai secara rasmi pada satu majlis perceraian di China baru-baru ini.


BEIJING – Biasa kita dengar ialah majlis pertunangan dan majlis perkahwinan dibuat secara besar-besaran meraikan pasangan bercinta diikat dan kemudian disatukan namun bagaimana pula majlis perceraian disambut besar-besaran untuk yang mahu berpisah.

Seorang isteri di China mungkin mencipta sejarah tersendiri yang pasti tidak tergamak dilakukan oleh golongan Hawa lain di seluruh dunia apabila sanggup menganjurkan majlis perceraian penuh istimewa bagi meraikan perpisahan dia dengan suaminya itu.

Akhbar tempatan berbahasa Inggeris terkenal di sini China Daily hari ini melaporkan, wanita tidak didedahkan identitinya itu melakukan upacara secara penuh gilang-gemilang tersebut di bandar raya Wenzhou, wilayah Zhejiang, timur China baru-baru ini.

Sambil memakai gaun pengantin berwarna putih krim manakala suaminya lengkap sut tuxedo gelap, pasangan itu melafazkan perceraian sebelum disusuli upacara bertukar-tukar cincin, membuka penutup sebiji botol minuman keras dan memotong kek perpisahan.

Majlis serba ringkas itu turut disaksikan tiga orang rakan mereka dan akhbar tersebut mendedahkan, wanita berkenaan tidak tahu yang dia berkahwin dengan suami orang sejak zaman percintaan lagi lantas berasa amat kecewa apabila dipermainkan lelaki itu.

Katanya, dia hanya tahu mengenai cerita sebenar apabila dibongkar sendiri oleh isteri lelaki tersebut dan pasangan itu diminta bercerai apabila suaminya diberi kata dua oleh ‘madunya’ sama ada mahu memilih dia atau wanita yang pertama berkenaan.

Lelaki itu akhirnya memilih isteri pertamanya dan bersetuju meninggalkan wanita tersebut dengan mengadakan upacara khas perceraian kerana pasangan berkenaan mungkin tidak setuju dengan konsep poligami selain tentu berasa ditipu hidup-hidup. – Agensi




0 Komentar untuk "Buat Majlis Perceraian Selepas Tahu Kahwin Suami Orang"

 
Copyright © 2014 Tabek Puang - All Rights Reserved
Template By Catatan Info