>>>>>

Umat Islam Tidak Boleh Menghina Agama Lain, kata Dr Asri



Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengatakan umat Islam harus bijak membezakan antara kritikan dan penghinaan kerana walaupun terhadap agama lain dibenarkan, ia mesti berada dalam kerangka ilmiah.

Bekas mufti Perlis itu berkata, umat Islam tidak boleh menghina agama lain kerana Al-Quran dengan jelas melarang cercaan terhadap sembahan agama lain kerana ia akan mengundang permusuhan kembali kepada agama Islam.

“Kita boleh memberikan pandangan kritis Islam terhadap agama lain dengan mengkritik secara akademik tetapi mencerca atau mempersendakan adalah dilarang.

“Ia disebut dalam Al-Quran menerusi surah Al-Anam, ‘Jangan kamu mencerca apa yang mereka sembah selain daripada Allah. Nanti mereka akan mencerca Allah secara permusuhan’,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Naib Juara program realiti Pencetus Ummah Shahul Hamid MPH Seeni MD ditahan di rumahnya di Teluk Kumbar pada Khamis bagi membantu siasatan berhubung kenyataan menghina agama Hindu.

Shahul, 39, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah dan dibebaskan semula selepas empat jam memberi keterangan kepada pihak polis.

Dalam ceramahnya yang dimuat naik di laman YouTube, Shahul menggesa umat Islam agar tidak membeli produk serbuk kari daripada syarikat Hindu seperti Alagappas dan Babas.

“Kalau anda pergi ke kilang Alagappas di Permatang Pauh, anda akan dapat melihat patung tuhan mereka di pintu gerbang dengan lidah yang terjelir keluar.

“Kenapa lidahnya terjelir? Sebab Dewa itu mesti merasa semua serbuk kari sebelum mereka menjualnya,” kata Shahul dalam ceramahnya di sebuah surau di Shah Alam lima tahun lalu.

Asri berkata umat Islam perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan perlu bijak membezakan antara kritikan dan cercaan.

Beliau berkata, kritikan perlu memberi kesedaran kepada manusia agar berfikir secara matang dan tidak boleh berlandaskan penghinaan.

“Jika dia kata Islam tidak menyembah berhala kerana Allah tidak mempunyai imej sedemikian, itu OK. Tidak perlulah menyentuh isu rempah ratus kerana perkara itu bukan satu pendekatan ilmiah.
“Semua orang perlu berhati-hati. Islam membenarkan kita mengkritik dengan tujuan menimbulkan kesedaran pihak lain.

“Tetapi tujuan kritikan dalam Islam untuk menimbulkan kesedaran manusia berfikir secara matang. Bukan sehingga ada yang merasa terhina dengan penghinaan itu,” katanya.

Bagaimanapun, Asri berkata umat Islam juga perlu mempunyai pendirian tegas dalam membezakan konsep akidah Islam dengan agama lain.

Katanya, segala perbezaan yang dilontarkan mestilah tidak mengundang permusuhan dan tidak menyentuh hal yang mempersendakan agama lain.

“Kita boleh mengkritik secara akademik, seperti saya tidak dapat menerima sama sekali kepercayaan orang Hindu bahawa amalan Sakti yang diamalkan dahulu iaitu wanita mesti dibakar bersama dengan mayat suami.
“Tetapi saya tidak boleh mempersendakan apa yang mereka buat sehingga menimbulkan permusuhan tanpa sebab yang jelas,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Dua hari lalu, selepas siasatan polis di Pulau Pinang, Shahul memohon maaf secara terbuka terutama kepada masyarakat India selepas rakaman video kenyataannya yang dianggap menghina penganut agama Hindu tersebar luas di Internet.

Katanya, kenyataan rasisnya itu sangat dikesali dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.

Shahul juga menyatakan kesediaannya untuk menemui semua pemimpin tertinggi masyarakat India untuk memohon maaf secara terbuka dan merayu kepada akhbar berbahasa Tamil supaya menerbitkan permohonan maafnya itu dalam huruf besar.

Beliau yang juga merupakan ahli PAS kawasan Tanjong menafikan membuat kenyataan itu atas kapasiti ahli parti tetapi hanya mahu menarik perhatian hadirin.

Shahul mendakwa menerima hampir 1,000 panggilan telefon dan SMS yang kebanyakannya berunsur ancaman termasuk ugutan bunuh, lapor TMI.sumber
0 Komentar untuk "Umat Islam Tidak Boleh Menghina Agama Lain, kata Dr Asri"

 
Copyright © 2014 Tabek Puang - All Rights Reserved
Template By Catatan Info