Masyarakat setempat hari ini dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki yang hanya berseluar panjang hitam dan seorang wanita berbikini putih dan mengenakan kain layah, dipercayai pasangan model sedang berjalan di sekitar Jalan Sultan Yussuf di Ipoh hari ini.
Kehadiran pasangan itu yang berpakaian tidak senonoh mengundang perhatian pengguna jalan raya sekitar kawasan itu malah difahamkan ada yang memperlahankan kenderaan untuk melihat.
Beberapa laman sosial juga mula menyiarkan gambar dan kejadian yang dikatakan berlaku pada pukul 9 pagi tadi.
Pasangan model berkenaan bersama beberapa krew dipercayai sedang menjalani sesi penggambaran perkahwinan di lokasi itu.
Sementara itu, seorang pengawal keselamatan yang enggan dikenali berkata penggambaran itu berlaku dalam tempoh yang singkat iaitu antara lima hingga 10 minit.
Katanya ketika pasangan itu melalui lintasan penjalan kaki di persimpangan lampu isyarat, Jalan Sultan Yussuf, beberapa buah kenderaan berhenti untuk melihat kejadian tersebut.
"Kehadiran pasangan itu tidak lama tetapi semua orang yang ada melihat mereka kerana berpakaian tidak senonoh," katanya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Ahmad Termizi Abdul Haq pula berkata beberapa anggota polis diarahkan ke lokasi itu apabila pihaknya menerima kiriman gambar yang disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp tetapi sebaik sahaja anggota polis tiba, pasangan itu tiada.
"Arahan dikeluarkan kepada Ketua Polis Balai dan anggota jika terserempak dengan mana-mana perlakuan tidak bermoral dan berakhlak, mereka perlu menasihati atau meminta perlakuan itu dihentikan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun setakat ini polis belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu, katanya.
Katanya kejadian itu akan disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu berkelakuan aib. – Bernama, 25 Ogos, 2014.
0 Komentar untuk "Pasangan Berpakaian Separuh Bogel Kejutkan Pengguna Jalan Raya Di Ipoh"