Seram Pontianak Tumpang Kereta Di Bukit Fraser | Fuh.
Dah lama rasanya Dr Fuh tak kongsi artikel seram ni. Tiba-tiba tergerak
pulak nak kongsi lepas baca cerita seram di laman halaqah.net. Cerita
seram ini berlaku di Bukit Fraser Pahang dimana ianya adalah penceritaan
semula. Dr Fuh pon tak pasti la kisah ni benar-benar berlaku atau cuma
kisah dongeng semata-mata. Jom kita baca.
Cerita Seram Bukit Fraser
MENGHABISKAN
cuti hujung minggu di Bukit Fraser, Raub, Pahang sudah jadi amalan
Ghazli dan Fazlin (buka nama sebenar) serta tiga anak mereka sejak
setahun lalu.
Kerjaya Ghazli
sebagai pemuzik dan isterinya, penulis sesuai dengan suasana semula jadi
yang ditawarkan kawasan pelancongan berbukit di Banjaran Titiwangsa
ini.
Selain suasana
alam semula jadi yang masih tidak dicemari pemodenan yang rencam, Fazlin
cukup mengagumi suasana perkampungan seolah-olah di pedalaman negara
Scotland yang dipenuhi dengan bangunan granit kelabu dengan gaya Tudor.
Banyak kali
juga suami isteri ini mendengar cerita seram, pelik dan misteri yang
dialami pelancong yang bertandang, maklumlah kebanyakan banglo serta
hotel yang ada sedia wujud seawal era kolonial lagi, namun itu semua
tidak pernah menjadi penghalang.
Bukit Fraser
menyimpan pelbagai sejarah perjuangan orang Melayu sewaktu menentang
penjajah Inggeris sejak 1917 hingga ambang kemerdekaan Persekutuan Tanah
Melayu pada 31 Ogos 1957.
Antara kisah
misteri yang pernah menyelubungi Bukit Fraser, termasuk pencarian
seorang paderi Kristian dari Singapura pada 1917, Bishop C.J. Ferguson
yang berjaya menemui ‘Bukit Fraser’ selepas berhari-hari mencari
rakannya, seorang pelombong bijih timah, Louis James Freser yang
dilaporkan hilang di dalam hutan itu.
Kerajaan
Inggeris percaya Freser mati dimakan binatang buas atau dibunuh Orang
Asli dan tubuhnya menjadi makanan mereka. Begitupun versi yang boleh
diyakini menyatakan Freser dibunuh pejuang Melayu yang menentang
Inggeris.
Memang sudah
tertulis, setiap apa yang berlaku ada sebab tersendiri. Terpulang kepada
manusia dan insan di bumi Allah SWT untuk mengambil iktibar.
Kali ini Ghazli
dan Fazlin silap perkiraan dan lewat memulakan perjalanan iaitu hampir
Maghrib. Biasanya mereka akan mengelak mendaki Bukit Fraser dalam
suasana gelap kerana jalan yang sempit dan sukar ketika berselisih
kereta, banyak selekoh berbahaya dan curam. Jika sesuatu berlaku sukar
juga hendak mendapatkan bantuan.
Nekad
meneruskan perjalanan, kira-kira setengah jam memandu, sebaik melepasi
kawasan tadahan Empangan Kuala Kubu Bharu, mereka berasa seperti sesuatu
yang tidak kena dengan kereta yang dipandu.
Anak kedua mereka, Nayli, 6, sejak tadi resah dan takut. Fazlin memujuk sambil menyuruhnya cuba tidur seperti abang dan adiknya.
Fazlin sendiri
tambah gusar kerana baru hari pertama datang bulan, suami pula senyap
dan langsung tidak bercerita, malah cukup serius memandu. Sebelum ini,
tidak pernah pula dia begitu. Enjin kereta terdengar mengeram kuat
tetapi kelajuan hanya 60 kilometer sejam (km/j). Berpeluh Ghazli menekan
pedal minyak tetapi kelajuan tetap sama. Pelik, padahal kereta baru
dihantar servis. Bukit Fraser pun belum dipanjat lagi.
Bulu romanya tegak berdiri, dalam hati kalimah dan ayat suci serta Ayatul Kursi menemani mereka sepanjang perjalanan.
Jangka waktu 20
minit sebelum sampai ke Gap dirasakan terlalu lama. Perasaan sesal dan
bimbang bercampur baur. Apa pula musibah yang bakal menimpa mereka
sekeluarga.
Sebaik melepasi
selekoh lokasi tragedi Sir Henry Gurney dibunuh, kenderaan tiba-tiba
meluncur laju. Tiada lagi bunyi enjin mengeram, ringan dan lancar.
Ghazli dan Fazlin masih membisu sehinggalah mereka tiba di menara jam di
tengah pekan Bukit Fraser.
“Nampak tak apa
yang saya nampak?” kata Ghazli dengan wajah serius. Fazlin dengan wajah
pucat dan suspen sekadar menggelengkan kepala.
“Benda tu
terbang dan melintas betul-betul depan kereta kita dan terus lenyap ke
dalam hutan dekat selekoh tadi…” kata Ghazli lagi sambil meraut muka
dengan tangan. Rupa-rupanya kereta mereka ditumpang makhluk yang
dikenali sebagai pontianak.
“Patutlah abang
diam semacam saja, rupanya makhluk itu cuba mengusik kita sekeluarga.
Barulah saya faham kenapa orang tua kita tidak galakkan keluar rumah
waktu Maghrib, inilah mungkin sebabnya.”
Selepas kejadian itu, Ghazli dan Fazlin serik dan akan memastikan mereka akan naik ke Bukit Fraser hanya pada waktu siang.
Wallahualam
Dr Fuh – Betul
lah kata orang-orang tua. Waktu Magrib jangan berkeliaran lagi luar
rumah. Kat sini Dr Fuh ada nak kongsi hadis sikit berkaitan bahaya waktu Magrib.
Dari Jabir r.a katanya:
“Jangan biarkan ternakan dan anak-anakmu lepas berkeliaran ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja kerana syaitan keluar ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja.”(Riwayat Muslim)
Diriwayatkan dari Jabir RA. : Nabi Muhammad SAW pernah bersabda,
“ketika malam turun, dekatkanlah anak-anak kalian kepadamu, karena waktu itu setan bertebaran. Sejam kemudian, kalian dapat melepaskan mereka; dan tutuplah pintu-pintu rumahmu dan sebutlah nama Allah, padamkanlah lampumu dan sebutlah nama Allah, tutuplah minumanmu dan sebutlah nama Allah, tutuplah juga bejanamu dan sebutlah nama Allah, sekalipun hanya dengan meletakkan sesuatu di atasnya”. [Riwayat Bukhari]
Wallahualam..
Sumber: Fuh.My
0 Komentar untuk "Kisah Seram Pontianak Tumpang Kereta Di Bukit Fraser"