>>>>>

Perbuatan ‘troll’ Dikategorikan Sakit Jiwa – Pakar Motivasi

dr.fadzilah

KUALA LUMPUR - Mereka yang suka melakukan ‘troll’ atau mengeluarkan kenyataan bernada menyindir dengan tujuan provokasi dan menyebarkan keburukan orang lain menerusi media sosial, merupakan golongan ‘sakit jiwa’.

Pakar motivasi Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah berkata golongan ini boleh dikenali menerusi empat ciri dengan yang pertama orang yang ‘sakit dari segi rohani’.

“Jiwa atau rohani mereka tidak sihat. Orang yang sakit dari segi jiwa memang tidak mempunyai perasaan malu atau rasa bersalah untuk menyebarkan keburukan orang lain walaupun dengan niat berjenaka,” katanya.

Beliau berkata ciri kedua ialah jahil agama kerana secara jelas agama menghalang mana-mana pihak menyampai atau menghebah keburukan orang lain.

Yang ketiga katanya mungkin dipengaruhi oleh rakan-rakan atau persekitaran.


“Kalau semua geng dia kongsi atau sampaikan keburukan, keaiban dan perkara yang negatif maka dia akan terbawa-bawa sifat itu serta melakukan perbuatan yang sama.

“Yang keempat ialah orang yang sewenang-wenangnya menyampaikan sesuatu perkara tanpa mengetahui kesahihan dan kebenaran keseluruhan cerita itu. Ini akan menjurus kepada perlakuan memfitnah dan mengumpat serta sangat berbahaya,” katanya.

Menurut Mohd Fadzilah, pelaku ‘troll’ sebenarnya terlupa perbuatan mereka itu adalah suatu sabotaj terhadap diri sendiri.

Orang terlepas pandang apabila mereka memberi komen bersifat negatif terhadap sesuatu isu, secara tidak langsung akan mencerminkan sifat peribadi pelaku ‘troll’ dan menjatuhkan maruah diri mereka sendiri, katanya.

“Apabila mereka menyampaikan keaiban orang lain dalam media sosial, dosa pelaku kesalahan itu mungkin terhenti setakat itu namun dosa orang yang menyebarkan cerita tersebut akan berterusan selagi isu itu masih dibincangkan,” katanya, lapor Bernama.
0 Komentar untuk "Perbuatan ‘troll’ Dikategorikan Sakit Jiwa – Pakar Motivasi"

 
Copyright © 2014 Tabek Puang - All Rights Reserved
Template By Catatan Info