gambar hiasan |
Kisah
benar ini diambil dari sebuah blog Link, untuk dijadikan pengajaran
kepada pemuda atau pemudi yang selalu ke taman rekriasi atau batu
hampar buat projek! Contohnya di Kalumpang ada air terjun dan penulis
selepas menamat perkhidmatan tentera. Menyertai askar wataniah dan
melatih askar wataniah lelaki dan wanita di kawasan batu hampar di
Kalumpang. Selalu berpesan kepada mereka jangan buat perkara tak senonoh
seperti “projek”.
Kawasan
hutan adalah tempat habitat liar. Jadi jangan silap langkah. Banyak
pantang larang kena ikut. Maklumlah masuk kawasan orang selalu kena
hormat. Jangan kencing merata-rata atau terlalu gembira memekik
melolong. Yang askar wanita yang datang bulan, pampers jangan buang
merata kerana boleh menggangu makhluk halus yang kita tak tahu tinggal
disitu. Ada juga orang awam yang datang buat “projek” kat celah-celah
batu dan dikawasan semak samun. Ada yang pernah kena gigit lipan atau
kala jengking.
Tapi
kisah kali ini, sepasang kekasih yang buat “projek” ringan-ringan
tetapi nafsu mana boleh kawal sehingga terlanjur dan mereka berzina.
Jadi teruskan membaca kisah benar ini……
Ambillah iktibar dari kisah benar ini.
Melihat
pendedahan yang dibuat oleh sebuah stesen televisyen swasta baru-baru
ini mengenai anak bangsa kita yang melakukan perbuatan terkutuk di
dalam hutan terutamanya di pusat-pusat perkelahan mengingatkan….
Pengalaman
saya berhadapan dengan sepasang tunang yang mengadu menghadapi masalah
besar beberapa tahun lalu,” beritahu Ustaz Abdullah Mahmud, penceramah
bebas yang dikenali ramai. Tambahnya, beliau memang tidak hairan
dengan pendedahan tersebut kerana sepanjang menjadi penceramah,
kaunselor dan merawat orang, dia didatangi oleh golongan remaja yang
mengadu menghadapi masalah akibat terlanjur terutamanya si wanita yang
mengandung setelah berzina di merata tempat tak kira hutan, hotel,
rumah kosong, dalam semak, kereta dan sebagainya.
“Adakalanya saya menitiskan air mata apabila mengingatkan pergaulan bebas anak muda kita yang makin menjadi-jadi.
Mereka
ini langsung sudah tidak takut bala Tuhan. Mereka sudah tidak dapat
membezakan antara halal dan haram,” tegas beliau dengan nada kesal.
Berbalik kepada pasangan tunang yang datang menemui beliau di
pejabatnya di Batu Caves, Selangor ketika itu, Ustaz Abdullah
menjelaskan pasangan itu yang berumur lingkungan pertengahan 20-an itu
datang untuk meminta pertolongannya.
“Apa yang boleh saya bantu encik?”
Tanya
Ustaz Abdullah kepada mereka. Si lelaki kelihatan malu-malu untuk
menceritakan masalahnya manakala si perempuan mencubit paha lelaki itu
mungkin meminta agar segera menceritakan masalah mereka. Ustaz Abdullah
yakin masalah yang dihadapi oleh pasangan itu agak berat kerana
berdasarkan pengalaman, lazimnya hanya mereka yang menghadapi masalah
besar saja akan pergi menemui kaunselor atau ustaz bagi mencari jalan
agar kekusutan yang dialami mereka terlerai.
“Ustaz…macam
ini, saya dan tunang saya ada masalah sikit. Ketika tidur, saya selalu
nampak ular dalam rumah. Begitu juga dengan tunang saya. Seringkali
ketika tidur, tunang saya menjerit-jerit. Dia kata ular besar datang
membelitnya.”
“Saya sendiri sudah takut hendak masuk di dalam semak kerana sering terbayang ada ular,” beritahu lelaki itu ringkas.
Mendengar
masalah itu, Ustaz Abdullah termenung sejenak. Dia merenung memikirkan
“penyakit” aneh yang dihadapi oleh pasangan itu.
“Awak pernah pukul ular ke?”
Ustaz
Abdullah mengajukan soalan rambang . Bagaimanapun lelaki itu
menggeleng kepala sambil memberitahu dia tidak pernah memukul ular.
Lelaki itu turut memberitahu dia dan tunangnya jadi fobia kepada ular
dan akibat itu badan mereka menjadi lemah tidak bermaya akibat sering
terkejut.
Mereka
juga menyatakan telah pergi menemui beberapa orang bomoh meminta air
penawar agar kelibat ulat tidak tergambar lagi dalam bayangan matanya
tetapi semuanya tidak menjadi. “Selalunya kalau jadi macam ni, pasti
ada sebabnya.
Kalau
tidak ada sebab tertentu, setahu saya perkara seperti ini tidak akan
berlaku tambahan lagi berdasarkan pengamatan saya, awak berdua bukan
terkena sihir,” kata Ustaz Abdullah yang menyedari pasangan tunang itu
cuba menyembunyikan cerita yang sebenar kepadanya.
Namun
lelaki itu tetap berkeras menyatakan mereka tidak pernah melakukan
sesuatu kesalahan seperti memukul ular dan sebagainya.”Tak perlu hendak
malu. Saya hendak tahu ini pun, bukannya saya bermaksud hendak campur
hal encik tapi dengan mengetahui puncanya, mudahlah sikit saya
berikhtiar kalau-kalau ada serasi, Allah akan makbulkan permohonan
kita,” pujuk Ustaz Abdullah lagi.
Sebaik
saja mendengar kata-kata itu, wajah mereka tiba-tiba berubah. Si
perempuan pula tiba-tiba menitiskan air mata manakala yang lelaki
tunduk ke bawah memandang lantai. Dia kelihatan malu untuk bertentangan
mata dengan Ustaz Abdullah. “Macam ini Ustaz, sebenarnya saya kena
belit ular sawa setahun yang lalu, sejak itu saya mengalami masalah
ini, sering diganggu dengan bayangan ular. Tunang saya juga kena belit
ular,” akui lelaki itu agak mengejutkan Ustaz Abdullah.
Ustaz
Abdullah yang tidak begitu faham dengan penjelasan itu terus bertanya
kepada mereka bagaimana cerita yang sebenarnya. Barangkali setelah
yakin dengan keikhlasan Ustaz Abdullah untuk membantu, akhirnya
pasangan itu menceritakan segala-galanya. Cerita lelaki itu, kejadian
itu berlaku sebelum mereka bertunang. Pada suatu hari, mereka yang
mengaku bekerja di sebuah syarikat yang sama di Shah Alam, Selangor
mengatur janji untuk pergi ke sebuah tempat perkelahan di Selangor.
Mereka yang kebetulan bekerja syif malam telah mengambil keputusan
untuk pergi pada hari biasa kerana pada hari tersebut orang tidak ramai
maka mudahlah mereka bermadu asmara dan bercengkerama.
Menurut
lelaki itu lagi, sebelum itupun, mereka pernah pergi ke situ pada
hujung minggu. Bagi mereka, pada hujung minggu tidak sesuai kerana,
pengunjung terlalu ramai, maka menyukarkan mereka untuk bercumbu rayu.
Itupun mereka memilih tempat terlindung tetapi tidak terlepas daripada
gangguan pemuda-pemuda yang suka mengendap.
“Hanya
dua bulan perkenalan, kami sudah terlanjur. Ketika saya dibelit ular
tempoh hari, saya berkenalan dengan tunang saya ini sudah enam bulan.
Banyak
kali sudah kami melakukan perbuatan terkutuk itu,” nyata lelaki itu
sambil menangis. Sebaik saja sampai di kawasan perkelahan yang
mempunyai sebatang anak sungai itu, dia menyorokkan motosikal di dalam
semak. Manakala tempat mereka bersama terlindung di sebalik pokok balak
berhampiran gigi air sungai. Pada tengahari itu memang sunyi. Seorang
manusia pun tidak kelihatan.
Bukan
main seronoklah mereka berdua kerana dapat bermadu kasih tanpa
gangguan, meskipun terbit rasa bimbang kalau ada yang mengintip di
sebalik semak atau diserbu pihak berkuasa tapi perasan rindu dendam
yang membara mengatasi segala-galanya. Di situ, pada mulanya mereka
berbual-bual sambil berpegangan tangan. Kemudian melarat ke bahagian
lain pula.
Seterusnya
nafsu mula menguasai diri masing-masing. Berbekalkan kertas
suratkhabar, ia dijadikan alas untuk mereka berbaring. Pakaian si
perempuan dilucutkan satu demi satu, selepas itu yang lelaki pula
menanggalkan pakaian. Mereka bercumbu rayu dan terus berzina tanpa
menyedari di dalam rumpun semak di hujung kaki mereka berlengkar seekor
ular sawa sebesar paha orang dewasa sedang mengeram.
“Kami
tak sedar ada ular. Tengah-tengah buat benda tu, kaki saya tertendang
ular itu menyebabkan dengan pantas ia terus menyerang dan membelit kami
berdua. Ia berlaku dengan pantas sekali, tidak sempat kami hendak
melarikan diri,” cerita lelaki itu dengan perasaan kesal. Akibat
belitan ular sawa itu, mereka berdua merasakan ajal mereka akan tiba
pada bila-bila masa kerana setiap kali mereka meronta, semakin kuat
ular itu menjerut tubuh mereka.
“Saya
menjerit sekuat hati meminta tolong. Perasaan malu sudah tidak ada
lagi dalam diri saya pada masa itu. Yang penting, nyawa kami harus
diselamatkan dan pada masa yang sama, saya semakin sesak nafas kerana
belitan ular itu yang sungguh kuat dan mulutnya terngaga luas seperti
tidak sabar-sabar hendak menelan saya,” beritahunya tanpa segan silu
lagi.
Keadaan
kekasihnya semakin lemah. Mukanya pucat lesi seperti sudah kehilangan
darah. Lelaki itu tidak mampu berbuat apa-apa. Kudratnya tidak terdaya
menandingi ular besar itu.
Dalam keadaan cemas, tiba-tiba muncul seorang pemuda dari sebalik semak sambil memegang sebatang kayu untuk memukul kepala ular itu yang hendak membaham kepala lelaki tersebut. Pemuda itu teragak-agak untuk memukul kepala ular sawa itu mungkin bimbang kalau terkena kepala lelaki itu. “Saya menjerit dan merayu agar ditolong dengan nada yang tersekat-sekat kerana sesak nafas. Kemudian pemuda itu dengan laju menghayun kayu sebesar betis itu beberapa kali mengenai kepala ular tersebut.
“Akhirnya,
ular itu terkulai dan belitannya terurai. Saya tidak mampu bergerak
lagi manakala kekasih saya pengsan. Pemuda itu memakaikan semula baju
kami. Kemudian dia pergi meminta bantuan orang untuk menghantar kami ke
hospital. Dia hanya seorang diri. Saya tidak pasti siapa pemuda itu
dan dari mana dia datang. Saya syak mungkin pada mulanya dia sedang
mengintai saya buat “projek,” cerita lelaki itu lagi.
Akibat
belitan ular tersebut, pasangan itu mengalami kecederaan agak teruk
iaitu si lelaki patah satu tulang rusuknya manakala kekasihnya patah
dua batang tulang rusuk.
Empat
bulan selepas kejadian itu, mereka melangsungkan pertunangan dan
merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat setelah didesak oleh
keluarga yang mengetahui kejadian itu. Bagi mereka, masalah sering
dihantui oleh bayangan ular lebih perit daripada menanggung kesakitan
akibat patah tulang rusuk.
Akibat
“badi” itu, tidur malam mereka terganggu setiap malam dan walau kemana
sekalipun berada,mereka terbayang berhampiran mereka ada banyak ular.
Mendengar penjelasan lelaki itu, fahamlah Ustaz Abdullah apa sebenarnya
yang terjadi. Namun sebelum merawat pasangan itu, beliau telah
menasihatkan mereka agar bertaubat kerana telah melakukan perbuatan
zina.
Ustaz
Abdullah juga memberitahu mereka, berkemungkinan peristiwa dibelit
ular itu adalah balasan Tuhan di dunia di atas perbuatan mereka itu.
“Awak berdua patut bersyukur. Saya rasa Allah sayangkan awak berdua.
Dia bagi azab kecil kepada awak berdua mungkin supaya awak insaf dan
segera bertaubat. Kalau nak ikutkan, ramai orang berzina tetapi Allah
tidak mahu menunjukkan balanya di dunia ini, maka kerana tidak pernah
dijatuhkan bala itu, mereka ini berterusan melakukan zina,” nasihat
beliau membuatkan pasangan itu menangis tersedu-sedu sambil berjanji
akan bertaubat serta berkahwin secepat mungkin.
Ustaz
Abdullah memberi sebotol air penawar. Air itu digunakan untuk mandi
dan minum. Di samping itu, Ustaz Abdullah menasihatkan pasangan itu
agar sering mengingati Tuhan semoga penyakit fobia mereka hilang.
Mereka pulang dengan wajah riang dan tidak lama kemudian lelaki itu
menghubungi Ustaz Abdullah memberitahu mereka berdua telah sembuh
sepenuhnya dan menjemput beliau hadir ke majlis perkahwinan mereka. – Informasi Dot My
0 Komentar untuk "[Kisah Benar] Pasangan Dibelit Ular Sawa Ketika Berzina"