ISLAM mengangkat martabat dan peranan wanita. Terdapat tujuh peranan golongan ini, pertama sebagai hamba ALLAH SWT; kedua sebagai isteri; ketika sebagai ibu atau pendidik generasi; keempat sebagai penyeru kepada kebaikan dan mencegah mungkar; kelima sebagai pejuang Islam; keenam sebagai anggota masyarakat dan ketujuh sebagai anak.
ALLAH mengiktiraf mereka ini seperti firman-Nya "Tuhan mu telah memerintahkan kamu jangan kamu syirik kepada ALLAH, hanya mengabdikan diri kepada ALLAH dan berbaktilah kepada kedua ibu bapa mu."
Malah, dalam memilih wanita sebagai isteri juga ada dibincangkan sebagaimana pesan Nabi Muhammad SAW agar melihat kepada empat perkara iaitu "...kecantikan, keturunan, harta dan agama; tetapi pilihlah yang beragama nescaya kamu akan bahagia..."
Pendakwah, Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood, berkata memasak, mengemas rumah memang bukan kewajipan seorang isteri, tetapi apabila suami suruh isteri wajib buat sebab apa yang suami suruh bukan sesuatu yang melanggar perintah ALLAH, itu adalah bonus bagi seorang isteri.
Sabda Nabi SAW: “Sebaik-baik isteri adalah isteri yang menyenangkan kamu apabila kamu melihatnya mentaati kamu apabila kamu menyuruhnya, dapat menjaga maruahnya dan harta kamu apabila kamu tidak ada bersamanya.” (Riwayat At-Tabrani)
Medium berkasih sayang
Beliau berkata, Ramadan yang datang adalah platform terbaik untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Si ibu pastinya akan memasak walaupun bukan setiap hari tetapi dengan memasak penuh keikhlasan dan kasih sayang, nescaya keluarga firdausi dambaan semua menjadi kenyataan.
“Kepada wanita bergelar ibu rebutlah peluang ini untuk mengutuhkan perhubungan dengan suami dan anak-anak. Jika sebelum ini jarang sekali kita berpeluang makan bersama, tetapi pada Ramadan yang barakah ini nikmatilah juadah iftar secara berjemaah sekalipun hidangan itu biasa-biasa sahaja tetapi besar sungguh nikmatnya," katanya.
Menurutnya, jika sebelum ini ibu mengejutkan anak-anak bangun bersahur dengan melaung-laung, bersikaplah sebaliknya, kejut mereka dengan penuh kasih sayang dan kelembutan, seeloknya bangunkan mereka awal sedikit dari waktu bersahur bagi mengerjakan solat sunat seperti qiamullail secara berjemaah,” katanya.
Beliau berkata, selepas bersahur solatlah berjemaah secara bersama disusuli dengan aktiviti tadarus al-Quran.
"Sungguh besar fadilatnya apabila sesebuah keluarga itu mengalunkan bacaan suci ayat–ayat al-Quran. Ramadan ini, selain berpuasa dan dapat bermuhasabah, jadikan ia sebagai medium pengerat kasih sayang sekeluarga," katanya lagi.
Halal yang berkat
Berbicara perihal besarnya ganjaran bagi wanita yang bersabar dan ikhlas dalam menggalas tanggungjawab seharian sebagai isteri, ibu, anak dan profesional, beliau berpandangan, sesibuk mana pun isteri itu bekerja, dia tetap perlu memainkan peranannya sebagai seorang isteri.
“Tidak dinafikan sesetengah isteri mengadu badan penat dan tidak mampu meluangkan masa dengan keluarga, tetapi bersabarlah dan senyumlah semasa melakukan tugasan itu untuk menanti besarnya ganjaran pahala. Sekalipun wanita itu diberi kemudahan mempunyai pembantu, usah mengharapkan sepenuhnya kepada pembantu.
Dia sekadar membantu, jangan pula menyediakan hidangan untuk suami dan anak-anak pun guna air tangan bibik.
“Mencari pembantu rumah pun perlu diteliti, jangan main ambil sebaliknya kaji dahulu berkenaan agama dan solatnya kerana pembantu ini akan dekat dengan anak-anak, dia yang akan menguruskan anak-anak apabila kita keluar bekerja," katanya.
Merujuk peranan ketiga wanita, katanya, proses pendidikan bukan bermula usai anak itu dilahirkan tetapi sebelumnya, sebaik mengetahui kehamilan. Elok lagi sekiranya semasa awal perkenalan mencari suami dan isteri, bukan selepas anak lahir, barulah hendak belajar mengazankan, mengiqamatkan.
"Semasa mengandung dan menyusukan, ibu perlu memakan atau mengambil sesuatu yang halalan toyyiban kerana ia membentuk peribadi si anak.
"Bapa juga hendaklah memberikan rezeki halal bagi santapan keluarganya. Ingatlah apa yang si ibu makan dan tatkala menyusukan itulah yang menentukan bagaimana watak anaknya kelak.
"Ramai mengadu anak kurang mendengar kata. Senang sahaja caranya, kaji balik rezeki dari mana yang diberikan kepada anak itu, baharulah kita tahu punca sebenar kenapa anak degil," katanya.
Pentingnya halal lagi suci
Nabi SAW bersabda: “Mencari yang halal itu adalah satu kewajipan bagi setiap umat Islam.” (Riwayat Ibnu Mas’ud)
Justeru, menjadi tanggungjawab Muslim untuk mengutamakan perkara halal kerana ia membentuk pekerti seseorang. Sebaliknya jika tidak kisah mengenai halal dan haram (makan, minum termasuk produk yang digunakan) ia akan mempengaruhi sikap, sekali gus terarah kepada perkara-perkara negatif.
Dalam al-Quran pun, berkali-kali ALLAH menegaskan mengenai halalal toyyiban iaitu dalam Surah al-Baqarah ayat 168, Surah al-Maidah ayat 88, Surah an-Nahli ayat 114 dan Surah al-Anfal ayat 69. Maknanya jika disebut di banyak tempat dalam al-Quran ia adalah sangat penting.
Menurutnya, konsep halalal toyyiban ini bukan hanya makan dan minum (menjadi darah daging) tetapi menyeluruh termasuk kegunaan luaran seperti produk penjagaan kecantikan atau kesihatan kulit.
“Bagaimana wajah kita nak ada nur (cahaya) jika apa yang kita pakai tidak diteliti haram dan halalnya. Apabila kita pakai produk kemudian berwuduk semasa membasuh muka, bacalah doa ini: “Ya ALLAH putihkan wajahku di hari Engkau putihkan segala wajah, jangan Engkau hitamkan mukaku di hari Engkau hitamkan segala wajah,” untuk minta muka kita bercahaya.
“Sebab itu kadang-kadang apabila orang tanya kenapa muka tidak berseri, kita kena kaji balik; pertama ada wuduk ke tak, kedua sujud ke tidak dan ketiga apa produk yang dipakainya.
Sebagai wanita yang sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan produk kecantikan, kita perlu ambil berat mengenainya kerana ia memberi kesan kepada peribadi,” katanya yang dilantik sebagai penasihat syariah bagi produk Safi.
"Kita bimbang kerana ramainya pengusaha produk makanan, minuman atau apa-apa produk sekalipun produk kecantikan menggunakan logo halal palsu. Benar kita tahu ia halal tetapi adakah syarikatnya sememangnya halal? Kerana itu, kita kena pilih syarikat atau kilang yang sememangnya terkenal dan diketahui halal.
"Kita tidak boleh main ambil dan guna sahaja. Dan bagi mengelakkan sebarang was-was atau keraguan tinggalkan sahaja. Berdasarkan hadis, Nabi SAW bersabda: “Apabila kamu berasa was-was, eloklah kamu tinggalkan.” katanya.
0 Komentar untuk "Jadilah Wanita Yang Menyenangkan"