>>>>>

Wanita OKU Dipercayai Di Kurung Lebih 10 Tahun



TUMPAT - Belum pun selesai kes penemuan seorang remaja OKU Muhammad Firdaus Dullah, 15 yang dikurung oleh ibunya, satu lagi penemuan wanita OKU didakwa dikurung di bawah rumah oleh ahli keluarganya di Pasir Pekan Hulu, di sini semalam.

Wanita malang itu, dipercayai ditemui dalam keadaan tidak terurus dan berbau busuk dengan dipenuhi najis di persekitaran tempat kurungannya semasa serbuan polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Berdasarkan dakwaan penduduk kampung terbabit, Rubiah Abdullah, 54, dia tidak menyangka setelah 10 tahun mangsa dikurung sehingga keadaannya kurus kering.

“Apa yang saya tahu, ahli keluarga mengurungnya kerana bimbang dia akan berkeliaran dan mengganggu penduduk sekitar.

“Saya terkejut melihat dia dalam keadaan terketar-ketar sehingga tidak boleh makan,” dakwanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharuddin Rasip berkata, mangsa dipercayai dikurung oleh adik beradiknya dalam sebuah bilik berukuran 5.8 meter persegi dan setinggi lebih dua meter sejak 10 tahun yang lalu selepas kematian ibu bapa mereka.

Polis terpaksa memotong jeriji besi pada bilik berkenaan untuk mengeluarkan mangsa setelah menerima maklumat daripada orang ramai mengenai keadaan mangsa petang semalam.

Beliau berkata, pada masa serbuan dijalankan, tiada seorang anggota keluarga mangsa yang berada di rumah dan maklumat awal yang diperolehi, mangsa dijaga oleh abang kandungnya yang tinggal berdekatan dari rumah berkenaan.

“Kita ingin siasat kenapa dia dikurung dan maklumat awal kita dapat mangsa dikurung kerana bimbang mangsa merayau di tempat awam,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tumpat oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) untuk pemeriksaan lanjut.
0 Komentar untuk "Wanita OKU Dipercayai Di Kurung Lebih 10 Tahun "

 
Copyright © 2014 Tabek Puang - All Rights Reserved
Template By Catatan Info