>>>>>

Felixia Yeap Dapat Nama Islam Melalui Mimpi



SHAH ALAM - Bekas model, Felixia Yeap yang bakal memeluk islam, pada 3 Julai ini mengakui sudah mempunyai nama sesuai yang diperoleh melalui mimpi.

Yeap, 28, berkata beliaua akan mengumumkan nama baru yang diperoleh itu pada majlis memeluk agama Islam nanti, 5 Ramadan ini.

“Saya sudah mempunyai nama yang diperoleh melalui mimpi dan akan digunakan selepas saya memeluk Islam. Dalam dua tiga minggu kebelakangan ini, saya sedikit runsing memikirkan nama Islam saya.

“Bagaimanapun, pada suatu malam, nama itu muncul dalam mimpi dan saya terkejut boleh mengingatinya selepas bangun daripada tidur,” katanya yang dipetik daripada My Metro, di sini, hari ini.

Katanya, pada mulanya beliau menyangka nama berkenaan tidak membawa sebarang maksud dan turut mengakui mengimpikan menjadi muslimah yang baik selepas memeluk Islam.

“Namun, apabila saya memeriksa maksud nama berkenaan ternyata ia mempunyai maksud yang baik dan indah. Saya mahu masyarakat sekeliling mengambil iktibar daripada kehidupan lampau saya.

“Pada masa sama, saya mahu mengimbangi kehidupan dunia dan akhirat serta sudah tentu mahu berkahwin,” katanya.

Beliau turut mengakui sudah mempunyai calon suami yang bukan daripada kalangan ustaz.

Ditanya berkenaan pengalaman berpuasa, Yeap berkata, beliau pernah cuba berpuasa pada 2012 iaitu selama sehari, tetapi tidak merasai keindahan.

“Ketika itu saya diajak oleh kawan, tetapi pada waktu itu saya ingatkan minum dibenarkan, jadi saya hanya tidak makan saja.

“Pada tahun ini, saya akan berlatih berpuasa bermula hari ini,” katanya.
0 Komentar untuk "Felixia Yeap Dapat Nama Islam Melalui Mimpi"

 
Copyright © 2014 Tabek Puang - All Rights Reserved
Template By Catatan Info