>>>>>

Jururawat Tutup Mulut Bayi Dengan Pita Pelekat

Bayi2


MANILA - Sebuah hospital di Filipina menjalankan siasatan selepas gambar seorang bayi yang baru beberapa hari dilahirkan dengan mulutnya ditutup pita pelekat tersebar secara meluas di Internet.

Bapa bayi malang itu mendakwa jururawat di hospital terbabit memberitahunya mulut anak lelakinya dilekatkan dengan pita pelekat kerana dia tidak henti-henti menangis.

Gambar bayi lelaki terbabit yang tidur dengan mulutnya dilekatkan pita pelekat mencetuskan kemarahan ramai di laman sosial termasuk Facebook dan Twitter.

Hospital bersalin di tengah Cebu itu memberitahu media, pihaknya masih menyiasat aduan yang dibuat Ryan Noval dan Jasmine Bodocdoc yang mendapati mulut anak lelaki mereka berusia lima hari itu dilekapkan dengan pita pelekat di wad khas bayi hospital terbabit.

Noval menulis di laman Facebook miliknya, mereka membuat aduan kepada pihak berkuasa hospital selepas jururawat berkata bahawa anak mereka menangis tanpa henti menyebabkan pita pelekat dilekatkan pada mulut bayi itu agar dia berhenti menangis.

“Sila bertemu dengan anak lelaki saya Yohannes Noval, dia tidak dapat menceritakan mengenai pengamalan ngerinya, jadi kami yang akan bersuara bagi pihaknya,” kata Noval di Facebook miliknya.

Gambar itu mencetuskan kemarahan di kalangan pengguna di seluruh Filipina.

“Saya harap jururawat bodoh itu masuk penjara,” tulis seorang pengguna Twitter, Mellany Monroy.

“Pihak berkenaan perlu mengambil tindakan terhadap kejadian itu agar ia tidak akan berulang. Memang teruk! Jururawat itu patut disaman,” tulis pengguna Nicole Vessell di Facebook.

Sementara itu, seorang jururawat berdaftar yang hanya ingin dikenali sebagai Tan menyelar perbuatan itu dan berkata memang sudah lumrah apabila bayi yang baru lahir akan menangis.

“Jika bayi terbabit sukar untuk bernafas melalui hidung dan mulutnya pula sudah ditutup, dia boleh mati,” katanya, lapor AFP.
0 Komentar untuk "Jururawat Tutup Mulut Bayi Dengan Pita Pelekat"

 
Copyright © 2014 Tabek Puang - All Rights Reserved
Template By Catatan Info