>>>>>

Apa Sudah Jadi Dengan Wajah Nasha Aziz? (3 Gambar)


Apa dah jadi dengan wajah pelakon jelita, Nasha Aziz? Lain macam kami lihat. Atau adakah ini sekadar make-up?

Dua keping foto di bawah diambil dari akhbar utusan malaysia menerusi artikel hiburan terbaru berjudul Erti Cinta Nasha. Kalau dulu, kecantikan Nasha nampak semulajadi namun macam dah berubah pula sekarang.

Apa-apa pun ikuti perkongsian kisah beliau di bawah:

2

Erti Cinta Nasha

RAMAI mahu meneladani kisah cinta aktres dan model bernama Nasha Aziz. Sehingga hari ini dia masih berteka-teki tentang soal hati dan perasaan.

Namun saat ditebak tentang persoalan cinta, mungkin ramai yang tidak percaya yang terpacul daripada bibir mungilnya.

Konservatif! Itu pernyataan yang dikeluarkan oleh Nasha Aziz berhubung soal cinta, isu yang seringkali diintai dalam kalangan peminat yang mengikuti perkembangan dirinya.

Tentu sekali sebagai wanita yang lahir dan membesar di kota raya Kuala Lumpur, ramai yang skeptikal terhadap pernyataan itu namun itu hakikat bagi diri seorang yang bernama Nasha Aziz, kata artis dan model popular itu.

“Ya, saya memang konservatif dalam soal cinta,” katanya. Bersungguh-sungguh dan tanpa berselindung.
Dan dia mengakui amat mementingkan agama, adab dan adat dalam menempuh kehidupan, tidak sahaja dalam bermasyarakat tetapi juga berpasangan.

“Adalah menjadi sesuatu yang penting untuk kita berpegang kepada agama dalam bercinta, tahu menjaga adab dan menghormati adat,” tambahnya.

Justeru kata Nasha, watak Zainab yang bakal dibawanya pada pementasan Di Bawah Lindungan Kaabah bermula 9 Mei hingga 18 Mei ini di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur amat dekat dengan dirinya.
Sifat akur Zainab dengan kehendak budaya dan agama dalam mencari diri dan cinta akui Nasha tertanam dalam dirinya.

“Kalau dalam percintaan Zainab akur dengan kehendak adab dan adat, saya juga pentingkan perkara yang sama. Zainab akur dengan budaya, saya akur dengan kehendak agama dalam cinta,” ujarnya.
Bagaimanapun kata Nasha, pendirian itu seringkali menyebabkan seolah-olah menjadi ‘halangan’ buat dirinya dalam mencari cinta yang didambakan.

“Tahu adab dan adat bercinta serta berpegang kepada agama, itu yang selalunya jadi ‘halangan’ dalam percintaan,” katanya berfalsafah.
Amat selektif

Dan seperti percintaannya, Nasha juga amat memilih dalam dunia kerjaya, baik di pentas peragaan mahupun lakonan.

Tidak selalu wajah Nasha terlihat dalam drama mahupun filem tempatan malah tidak banyak naskhah yang digalas ketika beraksi pada pementasan teater.

Sehingga kini si tinggi lampai berkulit putih mulus ini hanya terbabit dalam dua naskhah teater- Lantai T. Pinkie pada 2006 dan terkini, Di Bawah Lindungan Kaabah, kedua-duanya dikemudi oleh CTRA Production.

Akui Nasha dia memang selektif terhadap semua karya-karya pilihannya, baik untuk drama, filem mahupun teater.

Hanya ingin yang terbaik dan memberikan yang terbaik kata Nasha, dia memang seorang yang cerewet apabila membabitkan soal kerja.

“Sudah semestinya saya memilih. Dalam hidup mesti ada matlamat. Justeru kalau bekerja saya berharap yang gred A sahaja… pilih karya yang agung,” ujarnya.

Dan khabarnya, Nasha juga jadi pilihan untuk membawakan watak Zainab dalam pementasan tersebut bukan sahaja kerana senang bekerja dengannya tetapi juga dia memahami naskhah tersebut.

Lebih penting yang bernama Nasha Aziz ini ‘boleh dijual’. Memang komersil itu penting tetapi dia juga punya kreadibiliti di pentas lakonan. Itu pendirian penerbit teater, Siti Rohayah Attan.


2

Mangsa cinta

Berkolaborasi dengan aktor Adi Putra yang mendukung watak Hamid, Zainab yang dipertanggungjawabkan di bahu Nasha merupakan seorang wanita yang menjadi mangsa akibat budaya dan agama.
Berlatar belakangkan tahun 1938, cinta yang tidak kesampaian menjadi tunjang kepada karya asal Hamka ini.
Semuanya kerana budaya masyarakat yang melebihi tuntutan agama dan kemanusiaan sehingga mengakibatkan kemusnahan dua jiwa yang saling menyintai namun tidak terluahkan.
Zainab anak bangsawan dan Hamid, si penjual kuih anak orang kebanyakan yang diambil sebagai anak angkat oleh keluarga Zainab.

Sudah saling menyukai antara satu sama lain sejak kecil, luahan hati dilakar di dalam surat namun tidak pernah sampai ke tangan masing-masing kerana tidak pernah dihantar kepada empunya diri.
Namun Zainab dan Hamid sering meluahkan isi hati dan perasaan itu kepada kawan baik masing-masing, Rosnah dan Salih.

Telah menjalani latihan sejak dua bulan lalu, Di Bawah Lindungan Kaabah yang diarahkan oleh Rosminah Tahir ini turut menampilkan pelakon-pelakon seperti Yasmin Hani, Elfira Loy, Fizo Omar dan Dafi Ismail.
Menurut Nasha, dia bukan sahaja tidak sabar malah begitu teruja untuk kembali ke pentas selepas tujuh tahun tidak beraksi.

“Tapi pada masa yang sama saya juga berdebar-debar sebenarnya. Sebab saya selalu berniat untuk buat dan berikan yang terbaik bukan sahaja demi kepuasan penonton tetapi juga untuk diri saya sendiri,” jelasnya.

Dunia perniagaan & pelajaran

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Nasha Aziz sudah memiliki perniagaan sendiri khusus dalam hiasan dalaman dan kasut.

Bernaung di bawah nama BornRichReka dan BornNRich, kedua-dua perniagaan ini memberi satu wawasan kepada pelakon ini dalam mengemudi masa depannya.

“Saya seronok dengan dunia bisnes ini dan saya sekarang pun mengambil kursus secara peribadi bersama seorang guru untuk menambah lagi ilmu,” katanya.

Antara projek terkini yang diusahakan BornRichReka dalam bidang hiasan dalaman adalah mendekorasi bilik tidur bayi bagi seorang pelanggan.

Pada waktu terdekat ini kata Nasha, dia juga sedang menyiapkan rekaan bagi hiasan untuk majlis ramah mesra bersamanya sempena pementasan Di Bawah Lindungan Kaabah yang akan berlangsung 15 Mei nanti.
“Saya memang selalu menanti-nantikan pembabitan dengan produksi yang saya bekerjasama. Itu sebahagian sumbangan saya,” katanya.

Malah kata Nasha, dia tidak sabar menantikan tarikh 15 Mei itu untuk bersama-sama 70 peminat bertuah pada majlis ramah mesra yang pertama kali seumpamanya diadakan.

“Memang saya suka layan peminat. Pengalaman pada 2006 (ketika pementasan Lantai T. Pinkie) memang menyeronokkan. Tak sedar rupa-rupanya sudah pukul 3 pagi sampai pengawal kunci pintu dan padamkan lampu. Memang kelakar tapi saya suka (bertemu peminat),” ceritanya.

Selain itu Nasha turut menawarkan diri menyediakan kasut bagi pelakon wanita dalam pementasan Di Bawah Lindungan Kaabah.

Melalui syarikat BornNRich, Nasha memperkenalkan jenama TRYLa untuk koleksi kasut-kasutnya itu yang direka sendiri olehnya.

“Rekaan dan material saya pilih sendiri namun input-inputnya datang daripada pengarah dan produksi kerana mereka yang lebih tahu tentang watak dan kehendak karya,” jelasnya.

Malah kata Nasha dia turut merindui lantai peragaan dan tidak sabar untuk berkolaborasi dengan pereka Syaiful Baharim untuk sebuah pertunjukan fesyen pada Jun ini.

“Dunia peragaan masih tetap di hati,” katanya sambil tersenyum manja. -Utusan
Malaysia

0 Komentar untuk "Apa Sudah Jadi Dengan Wajah Nasha Aziz? (3 Gambar)"

 
Copyright © 2014 Tabek Puang - All Rights Reserved
Template By Catatan Info