>>>>>

Hishammuddin Tolak Laporan Data Enjin Hilang






SEPANG - Laporan berita mengatakan Malaysia Airlines (MAS) MH370 mungkin meneruskan penerbangan beberapa ketika selepas hilang daripada radar adalah tidak tepat.
Pemangku Menteri Pengangkutan dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata susulan laporan media berhubung data enjin hari ini, syarikat penerbangan MAS telah bertanya kepada pembuat enjin Rolls-Royce dan Boeing secara khusus mengenai perkara itu.

"Bagi Rolls-Royce dan Boeing laporan itu tidak tepat," katanya dalam sidang akhbar harian mengenai perkembangan operasi mencari dan menyelamat pesawat MAS MH370 yang memasuki hari keenam di sini hari ini.

Media asing melaporkan penyiasat penerbangan dan pegawai keselamatan percaya pesawat itu terbang selama lima jam, berdasarkan data yang dimuat turun secara automatik dan dihantar ke pangkalan daripada enjin pesawat.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada imbasan radar pada 1.07 pagi Sabtu, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Ia dijangka tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.      

Hishammuddin berkata transmisi terakhir daripada pesawat itu pada 1.07 pagi yang menunjukkan semuanya normal.

"Rolls-Royce dan pasukan Boeing berada di Kuala Lumpur dan bekerjasama dengan MAS dan pasukan penyiasatan sejak Ahad. Isu ini tidak pernah dibangkitkan," katanya. - Bernama

0 Komentar untuk "Hishammuddin Tolak Laporan Data Enjin Hilang"

 
Copyright © 2014 Tabek Puang - All Rights Reserved
Template By Catatan Info