BEBERAPA bulan lalu, insiden pelanggan
bawa anjing dalam troli di sebuah pasar raya telah menjadi buah mulut
masyarakat sehingga menyebabkan pihak berwajib menjalankan beberapa
inisiatif agar perkara tersebut tidak berulang kembali.
Maka lebih 500 troli dikatakan telah disamak dan penggunaan tanda amaran
lebih besar digunakan pihak pasar raya agar pelanggan yang bukan
beragama Islam lebih peka mengenai larangan terbabit.
Apa yang boleh disimpulkan, rakyat Malaysia sememangnya memandang serius
isu ‘halal haram’ dan netizen di media sosial merupakan antara faktor
utama perkara ini dapat diketengahkan.
Bagaimanapun sekiranya haiwan hidup seperti anjing boleh menimbulkan
panik kepada masyarakat kerana dibimbangi ianya dicemari najis tanpa
disedari, bagaimana pula dengan haiwan mughallazah lain seperti daging
babi yang diletakkan dalam troli yang tidak diasingkan?
Seorang netizen bernama Chin Huat Hong menyentuh tentang isu ini, malah
berkongsi pengalamannya membawa daging babi dalam sebuah troli untuk
menunjukkan apakah risiko yang ditakuti berlaku oleh umat Islam
sebagaimana dalam isu anjing sebelum ini.
Bagaimanapun dia mendakwa, perasaan ‘was was’ itu mungkin cuma dirasai
oleh umat Islam di Semenanjung Malaysia sahaja dan bukan di Sabah dan
Sarawak.
Tak apalah, itu kita komen kemudian. Jom lihat dulu coretan Chin-Huat Wong yang dinamakan ‘hikayat sebuah troli yang malang’.
Ini troli ‘malang’ yang dipilih saya.
Ini bahagian tidak halal – Ia tertutup maka udara di luar dan di dalam pun terpisah kecuali bila pintu dibuka.
Ini tulang babi yang saya pilih. Ia dibalut dalam plastik dan luarnya
kering. Risiko? Takut kalau permukaan plastik itu mempunyai sisa-baki
daging, maka tangan saya pasti membawa risiko.
Si jurujual membalutnya dengan sebuah beg plastik. Ini praktis piawaian.
Sekalipun di Pulau Pinang di mana pembeli kena membayar untuk beg
plastik, pembeli daging babi dapat beg plastik percuma. Risiko? Tangan
jurujual menyentuh lapisan plastik itu, seperti tangan saya.
Tulang babi yang dibungkus dalam beg plastik terbaring di dasar troli.
Saya membayar dengan tunai dan menerima bakinya daripada jurujual.
Risiko? Tinggi. Wang yang bertukar tangan itu mungkin datang dari
mana-mana saja, termasuk mereka yang baru menyentuh daging babi.
Sayur-sayuran yang saya beli bergaul rapat dengan tulang babi dalam beg plastik itu.
Saya membayar untuk sayur-sayuran di kaunter umum.
Saya mengambil keluar dua beg plastik yang mengandungi tulang babi dan sayur-sayuran masing-masing dari troli ‘malang’ itu.
Troli ‘malang’ itu kembali ke tempatnya.
Kesimpulan: risiko untuk troli terkena sisa-baki daging babi di permukaan bungkusan plastiknya amatlah rendah.
Terima kasih kepada Hong yang begitu prihatin terhadap perasaan kaum
Muslim yang begitu takut dengan ‘risiko’ terkena najis yang perlu
disertu seperti daging babi hingga sanggup berkongsi pengalaman seperti
ini.
Benar seperti apa dirumuskan Hong, risiko troli berkenaan untuk terkena
sisa baki daging di permukaan bungkusan plastik amatlah rendah. Namun
serendah mana pun risiko itu, ianya tetap sesuatu yang sudah ditetapkan
hukumnya dalam agama kami.
Bukan salah Hong kerana tidak faham bahawa apabila ssesuatu hukum sudah
diputuskan maka ia tidak boleh diambil ringan semata-mata mengikut arus
masa, namun itulah jawapan mengapa orang Muslim cukup menitik beratkan
hal halal haram ini.
Maka penyelesaian terbaik bukan menyeru orang Islam ‘meringankan’
sedikit ketakutan mereka terhadap risiko terkena najis anjing dan babi;
tetapi memastikan semua rakyat Malaysia menghormati setiap agama dan
mengelak isu sensitif seperti ini termasuk pengusaha pusat beli belah
dan lain-lain tempat awam.
Pengasingan tempat jualan dan troli yang digunakan berkaitan produk makanan yang haram buat agama Islam adalah solusi tepat.
0 Komentar untuk "Hikayat Sebuah Troli ‘Malang’ Bawa Daging Babi "