BEIJING – Plat-plat pendaftaran kereta
yang lucu sebenarnya adalah suatu perkara biasa di Hong Kong sejak
pengenalan Skim Penanda Pendaftaran Kenderaan Peribadi diperkenalkan
oleh pihak kerajaan pada 2006 lalu.
Ia hasil satu program yang membolehkan orang ramai
untuk memilih sendiri kombinasi abjad dan nombor unik sebelum mereka
mengemukakan taruhan dengan bidaan minimum ialah HK$5,000 (kira-kira
RM2,750).
Acara lelongan berlangsung 12 kali setahun atau
sebulan sekali sahaja dan ini bermakna penduduk Hong Kong yang berminat
kena bangun awal pada hari Sabtu minggu terakhir untuk berkumpul di
sebuah dewan khas.
Mereka beramai-ramai sanggup datang ke dewan yang
ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Hong Kong bagi mengemukakan taruhan
untuk plat lesen impian dengan maksimum 8 aksara termasuk huruf dan
nombor.
Stesen penyiaran milik pemerintah Singapura, Channel NewsAsia
melaporkan, jabatan tersebut bagaimanapun tidak membenarkan penggunaan
abjad I dan O kerana bimbang ia tidak dapat dibezakan dengan angka 1 dan
0.
Pembida juga dilarang membida huruf Q atas faktor
sama dan proses penawaran itu diadakan berasingan daripada acara
lelongan nombor plat cantik yang dilaksanakan juga pada Sabtu tetapi ia
dua kali setiap bulan sejak 1973.
Antara pernah menarik perhatian ialah plat
pendaftaran APPLE HK menerima bidaan HK$38,000 (kira-kira RM20,900) dan
plat PLAYER yang kemudian dijual pada harga dua kali ganda daripada
jumlah tersebut.
Bidaan unik lain adalah HK$387,527 (kira-kira
RM213,712) bagi plat YF yang pernah dimenangi oleh seorang lelaki
tempatan dengan mendakwa huruf YF itu sebenarnya adalah sebagai
singkatan daripada namanya sendiri.
Plat M0D1 pula pernah dijual pada harga HK$4,650
(kira-kira RM2,558) yang dibida oleh seorang peniaga Hong Kong dengan
mendakwa dirinya merupakan peminat setia Perdana Menteri India sekarang,
Narendra Modi.
Bagi seorang peniaga plat kereta tempatan, Chan
Ming Choy pula, beliau kini sedang cuba menjual plat MR RIGHT pada harga
HK$178,262 (kira-kira RM98,059) yang dimenanginya kepada sesiapa yang
berminat.
Setakat ini, rekod bidaan paling tinggi ialah 1
LOVE U dengan harga HK$1.4 juta (kira-kira RM770,000) yang dijual
menerusi acara lelongan kebajikan dan melibatkan 105 plat unik lain pada
24 September 2006 lalu.
Apa yang pasti, pemerintah Hong Kong setakat ini
telah meraih HK$310 juta (kira-kira RM170.5 juta) hasil daripada
penjualan plat-plat pendaftaran unik kenderaan itu, sejak skim tersebut
diwujudkan sembilan tahun lalu.
Pendapatan itu bagaimanapun dimanfaatkan Jabatan
Pengangkutan untuk menyara hidup 987 warga Hong Kong yang kurang
berkemampuan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat. –
Agensi/Mynewshub.cc/HAA
0 Komentar untuk "Bida Plat Kereta Lucu Trend Unik Di Hong Kong"