SINGAPURA – Seorang peniaga kereta mewah membuat laporan polis akibat berang setelah menerima duit syiling bernilai S$19,067.85 (kira-kira RM49,196.98) daripada seorang pembeli di sini, lapor stesen penyiaran tempatan Channel NewsAsia (CNA) hari ini.
Bagaimanapun polis enggan menyiasat laporan dibuat S.T. Tang, pemilik kedai jualan kereta Exotic Motor kerana ia bukan kesalahan jenayah dan menasihatkan penjual tersebut agar menyaman sahaja pembeli itu, Lester Ong Boon Lin sebagai satu kes sivil biasa.
CNA berkata, Ong sebelum itu diarahkan oleh sebuah mahkamah beberapa bulan lalu untuk membayar tunggakan hutang dalam jumlah dinyatakan tersebut kepada Exotic Motor dan hari ini pembeli berkenaan datang ke tempat pameran bagi menyelesaikan isu itu.
Namun, Ong dilaporkan menyindir Tang apabila membayar hutang tersebut dalam pecahan duit-duit syiling 50 cent, 20 cent dan 10 cent Singapura selain beberapa duit syiling luar negara sebelum terus dicampakkan ke atas lantai kedai kereta mewah berkenaan.
Marah dengan tindakan itu, Tang meminta Ong mengutip semula duit-duit syiling berkenaan tetapi teguran tersebut tidak diendahkan oleh pembeli itu yang mendakwa hutang keretanya sebagai sudah selesai sebelum segera keluar dan memandu keretanya.
Tang turut menghubungi peguam Ong bagi memulangkan semula duit syiling itu namun peguam tersebut mendakwa tidak lagi berkhidmat untuk Ong manakala pihak polis mengesahkan menerima laporan itu tetapi menyarankan Tang membuat saman sivil.
0 Komentar untuk "Guna Duit Syiling Untuk Bayar Hutang Kereta Mewah"