PORTO ALEGRE: Penjaga gol Algeria, Rais M’Bolhi menegaskan kekalahan 1-2 pasukannya kepada Jerman dalam masa tambahan, sekali gus tersingkir daripada saingan Piala Dunia, bukan kerana rakan pasukannya berpuasa.
M’Bolhi yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan pagi tadi berjaya menghalang percubaan Jerman sebelum Andre Schuerrle dan Mesut Ozil menjaringkan gol kemenangan dalam masa tambahan.
Algeria memperoleh gol saguhati yang memberi sedikit harapan menerusi pemain gantian, Abdelmoumene Djabou beberapa minit sebelum wisel penamat.
Selepas menyerang balas Jerman dengan garang dalam tempoh 90 minit permaina tanpa jaringan, pemain Algeria kelihatan penat dalam masa tambahan tetapi M’Bolhi berkata ia bukan disebabkan Ramadan.
Kebanyakan pemain Algeria dilaporkan sedang berpuasa dan hanya boleh minum air pada penghujung babak pertama perlawanan.
“Tidak, saya tidak fikir (itu adalah satu faktor), kami sudah bersedia untuk bermain dalam masa yang ditetapkan, tiada siapa yang percaya bahawa kami dapat mengekalkan prestasi seperti itu.
“Bukan soal fizikal, semua pemain mampu dan bersedia untuk bermain, kami hanya melepaskan dua gol pada lewat perlawanan.
“Ini adalah soalan peribadi, ia antara kami dan Tuhan. Saya tidak fikir saya perlu jawab soalan anda, puasa adalah satu perkara peribadi,” kata M’Bolhi. - AFP
0 Komentar untuk "Piala Dunia: Algeria Nafi Puasa Punca Kekalahan"