>>>>>

Misteri Iklan Gergasi ‘Bakal Orang Terkaya Di Dunia’ Di Jambatan P. Pinang

.
dd

Orang ramai yang melalui susur masuk dan keluar dari kedua-dua arah Jambatan Pulau Pinang kini tertanya-tanya siapakah lelaki muda yang muncul dalam papan iklan gergasi yang mendakwa dia adalah ‘Bakal Orang Terkaya Di Dunia’.

Lelaki yang muncul dalam papan iklan gergasi tersebut dipercayai seorang warganegara China dan bukannya rakyat tempatan.

Seorang pengguna harian Jambatan Pulau Pinang, B.C Ong ketika menghubungi mStar Online memberitahu, papan iklan itu menimbulkan persoalan dan tanda tanya kepada orang ramai kerana ia tidak mempromosikan jenis perniagaan atau produk yang ingin diperkenalkan tetapi hanya wajah lelaki berkenaan.

“Pada papan iklan gergasi itu hanya terdapat gambar seorang lelaki muda yang bernama Zhang Jian selain tertulis “Bakal orang terkaya di dunia.

“Di sudut atas dan bawah papan itu pula tertulis dua laman web iaitu WWW.YLSM.HK dan www.cdtup.com. Tiada sebarang produk atau nama syarikat yang diperkenalkan di situ,” katanya lagi.

Tambah Ong, berikutan itu, timbul persoalan mengenai perniagaan apakah disebalik papan tanda tersebut.
Sementara itu, hasil siasatan mStar di laman web tersebut dan laman sosial Facebook, https://www.facebook.com/jutawanyslm mendapati, ia adalah sebuah kumpulan jutawan YslmLM.hk atau ‘Group Jutawan Yslm.hk’.

Tiada produk yang diiklankan selain meminta orang ramai supaya menjana pendapatan dengan cara termudah tanpa perlu bekerja dan hanya ‘bergoyang kaki’ selepas mencari dua atau tiga rakan tajaan.

Untuk menyertainya, setiap peserta diberi pilihan untuk membeli pakej seperti VIP (RM300), VVIP (RM900), Emas (RM2,100) dan Intan RM4,500. Ia dijual secara lot.

Setiap peserta kemudian perlu mencari tajaan (downline) untuk membeli pakej itu sebagai usaha meningkatkan pendapatan kepada penaja (upline).

Setiap lot yang bermula dengan RM300 setahun didakwa mampu menjana pendapatan sehingga RM1,800 setahun manakala bagi lot bernilai RM4,800 setahun akan memberi pulangan berjumlah RM54,000 setahun.
Dari laman sosial tersebut, terdapat pautan yang membawa ke laman web http://www.jutawanyslm2u.com/.Di laman web berkenaan menceritakan bahawa YSLM merupakan syarikat yang berpusat di China dan mengeluarkan lebih 3,000 produk yang tidak disenaraikan.

Syarikat itu milik seorang pemuda bernama Zhang Jian, berusia 26 tahun seperti yang terpapar pada papan iklan gergasi di laluan Jambatan Pulau Pinang serta menetap di China.

Turut disenaraikan ialah pejabat pertama YSLM di Setiawalk Puchong, Selangor yang telah dirasmikan pada 15 Januari yang lalu.

YSLM dikatakan berdaftar dibawah Akta Jualan Langsung di negara ini untuk melakukan perniagaan berkenaan.

Misi utama syarikat tersebut atau pemiliknya ialah menjadi individu terkaya di dunia dalam tempoh lima tahun.

dd
0 Komentar untuk "Misteri Iklan Gergasi ‘Bakal Orang Terkaya Di Dunia’ Di Jambatan P. Pinang "

 
Copyright © 2014 Tabek Puang - All Rights Reserved
Template By Catatan Info