Gambar hiasan...
PERKAHWINAN saya dan suami baru sahaja berlangsung beberapa bulan yang
lalu. Kami berkenalan pun tidak sampai setahun sebelum saya berkeputusan
untuk menikahinya memandangkan dia adalah kenalan lama saya ketika di
sekolah menengah lagi.
Saya seorang janda anak satu. Dua tahun bercerai dengan bekas suami, saya bertemu dengan suami baru saya sekarang.
Suami berterus-terang selama dia mengenali saya, dari kecil memang dia
menyimpan perasaan yang amat dalam terhadap saya. Hanya selepas
mengetahui saya sudah dimiliki orang, dia membuang perasaan itu
jauh-jauh.
Dan siapa sangka jodoh itu ada pada usia kami berdua 30 tahun. Ia suatu
mimpi yang paling berharga buat suami kerana akhirnya dapat memiliki
saya.
Ustazah, baru-baru ini saya menemui mesej dalam telefon bimbit suami.
Berdasarkan pengalaman perkahwinan lalu, saya jadi amat teliti,
berhati-hati dan paranoid terhadap perhubungan baru. Saya sentiasa ada
perasaan was-was dan curiga dengan gerak geri suami.
Saya selalu tidak percaya yang suami tidak pernah bercinta selama
hayatnya, selain daripada saya. Mungkin kerana saya trauma dengan
perkahwinan lalu yang gagal kerana gangguan orang ketiga.
Entah kenapa hari itu, saya terdetik untuk menyemak telefon bimbit
suami. Mesej bertarikh April 2013, iaitu beberapa hari sebelum saya dan
suami menjadi kekasih begitu mencengkam jiwa saya. Kata-kata pada mesej
yang dihantar keduanya tidak seperti sahabat biasa.
Mereka menggunakan bahasa sayang dan ada perkataan-perkataan tidak elok
yang menggambarkan mereka berdua seperti berkongsi gambar dan membuat
video call.
Saya teliti Whatsapp dan panggilan keluar masuk. Nombor dan nama yang sama masih ada dan kerap membuat panggilan.
Hari itu juga kami bergaduh besar. Suami tetap dengan sikap sabarnya
(yang sebenarnya mengikat jiwa saya untuk bersamanya), tenang menjawab
setiap pertanyaan sedang saya pula dah macam orang gila.
Ya ustazah, saya tahu perbualan itu berlangsung sebelum kami menjadi
kekasih, tapi satu yang saya tak dapat terima apabila suami menipu saya.
Dia pernah kata tiada kekasih. Tidak pernah bercinta dan hanya
menyimpan perasaan terhadap saya seorang.
Rupa-rupanya, gadis itu pernah menjadi kekasihnya tujuh tahun dulu.
Percintaan suami dengan gadis itu tidak lama apabila gadis itu
mengahwini lelaki lain. Dan sejak itu, suami tidak pernah bercinta lagi
dan membujang sehingga dia menemui saya. Suami mengakui mereka masih
bersahabat baik kerana satu tempat kerja.
Ustazah, jika betul kata-katanya yang mereka hanya sahabat, kenapa suami
tidak berterus-terang sebelum ini? Kenapa suami perlu menipu dan kenapa
perlu ada orang ketiga dalam sesebuah perhubungan? Apakah saya yang
bersalah kerana terburu-buru mengakhiri zaman janda sebelum sempat
mengenali suami baru secara sepenuhnya?
Untuk pengetahuan, suami seorang pendiam, punya sifat sabar yang tinggi,
hormat orang tua dan punya rupa. Dia rajin belajar agama sebelum
mengambil saya menjadi isterinya.
* Norhasni, 30, Kuala Lumpur.
RESPON PAKAR
Oleh: Ustazah Norsaleha Mohd Salleh
Ketua Wanita ISMA
Puan Norhasni yang dikasihi ALLAH SWT.
Semoga ALLAH SWT menerangi kehidupan puan dengan cahaya keimanan dan
takwa kepadaNya. Saya bersimpati terhadap apa yang puan alami. Daripada
cerita puan, saya boleh merasai betapa berat perasaan yang puan
tanggung.
Kemunculan orang ketiga dalam rumah tangga adalah racun yang boleh membunuh secara senyap keharmonian yang terbina.
Puan juga mengakui kekuatan peribadi yang dimiliki suami seterusnya
menjadi daya tarikan yang mengikat puan dengan suami. Ini menunjukkan
betapa puan masih sayangkan suami dan rumah tangga yang telah sedia
terbina.
Perbezaan puan dengan kekasih suami sekarang ialah puan merupakan isteri
yang sah, mempunyai hak dan peluang yang lebih berbanding dengan
kekasih yang dimaksudkan.
Puan masih ada peluang untuk membaiki keadaan dan mengembalikan semula
suami ke pangkuan. Apa yang penting puan tidak boleh mudah berputus asa
dan kecewa dengan kejadian yang berlaku.
Menyalahkan suami kerana dikatakan menipu atau menyalahkan diri sendiri
kerana terburu-buru berkahwin bukanlah jawapan yang baik kepada masalah
yang dialami.
Sebaiknya puan kembali kepada takdir Allah SWT yang telah mempertemukan
puan dengan seorang suami yang baik dan penyabar. Manakala masalah yang
mendatang dalam rumah tangga adalah adat dan lumrah. Hadapilah dengan
bijaksana dan uruslah konflik itu dengan jalan yang terbaik.
Setiap masalah ada penyelesaiannya. Tiada rumah tangga yang aman damai tanpa gelora.
Cuma yang membezakan antara kita ialah bagaimana cara kita mengurus
konflik dan permasalahan yang datang. Puan sudah mempunyai pengalaman
berumah tangga sebelum ini.
Puan juga menghadapi masalah yang sama dengan rumah tangga pertama dahulu, iaitu orang ketiga.
Mungkin ada sebab atau mesej yang mahu disampaikan kepada kita melalui masalah sama yang dihadapi ini.
Kadang-kadang juga hubungan kita dengan suami sudah ada masalah, dingin
dan hambar. Jadi kemunculan orang ketiga itu hanya tempelan kepada
masalah rumah tangga yang sudah sedia retak. Itu juga mungkin berlaku.
Dalam isu rumah tangga puan, saya menasihati puan agar koreksi diri dan
muhasabah diri, di mana kurangnya puan sehingga suami begitu mudah
beralih arah. Mungkin kelemahan diri sendiri juga menjadi penyebab
kepada gangguan orang ketiga tanpa kita sedari.
Mungkin juga sikap paranoid puan yang mendorong kemunculan orang ketiga.
Mungkin juga cemburu puan yang berapi-api itu menutup hakikat yang mahu
diterangkan oleh suami tentang duduk perkara yang sebenar.
Sebaiknya ambil langkah bertenang dan tarik nafas yang panjang.
Renunglah sejenak dan fikirlah sedetik, mengapa suami masih mahu
mengahwini puan walaupun sudah bertaraf janda anak satu. Sekiranya bukan
cinta dan ikatan hati yang terbina antara puan dengan suami.
Puan hanya perlu menyuburkan dan membaja ikatan itu biar terus subur dan segar.
Hubungan suami isteri bukan sahaja diikat dengan hubungan seksual dan
nafsu serta kemewahan harta dan kecantikan rupa paras. Ikatan ini tidak
tidak kekal lama, ia akan rapuh dan rosak bila tiba waktu luputnya.
Sebaliknya suami isteri yang mempunyai ikatan hati dan jiwa yang kuat,
masih boleh bertahan dengan stamina yang tinggi walaupun badai melanda
dan ujian bertimpa-timpa. Kemunculan orang ketiga contohnya masih boleh
diurus dengan bijaksana sekiranya ikatan hati suami isteri sangat kuat
dan kukuh.
Ikatan hati yang kuat ini hanya boleh terbina sekiranya suami isteri
mempunyai hubungan yang kuat dan dekat dengan ALLAH SWT. Sebab itulah
saya menasihati puan agar segera membina hubungan yang rapat dengan
ALLAH SWT.
Hati kita berada dalam kekuasaanNya.
Hanya Dia yang boleh mengikat dan mengukuhkan antara dua hati,
sebagaimana Dia mencampakkan perasaan itu dalam hati suami puan untuk
menyunting puan sebagai isterinya.
Perbanyakkanlah munajat dengan ALLAH SWT memohon ampun dan rahmatNya
bagi puan suami isteri. Banyakkan bersedekah kepada fakir miskin dan
anak yatim sambil meminta mereka mendoakan kesejahteraan rumah tangga
puan.
Selain daripada itu, sekiranya puan mempunyai bukti yang cukup tentang
kewujudan orang ketiga ini, puan boleh membuat aduan ke Bahagian Penguat
Kuasa Jabatan Agama Islam supaya orang ketiga ini disiasat dan didakwa
oleh Pendakwa Syarie mengikut kesalahan jenayah Syariah.
Kesalahan mengikut Seksyen 36, 37, dan 38 di atas tergolong dalam
kesalahan boleh tangkap di mana pada kebiasaannya Pegawai Penguat Kuasa
Agama (PPA) boleh menangkap orang ketiga ini tanpa waran.
Sama ada orang ketiga akan didakwa atau tidak, puan menang atau kalah
kes berkenaan berdasarkan kepada beban bukti, saksi, bahan bukti,
dokumen dan keterangan bukan berdasarkan kepada cakap-cakap kosong atau
cerita dari mulut ke mulut.
Apabila perkara seperti ini berlaku, orang ketiga itu memang boleh
didakwa dengan semua bahan bukti atas melakukan kesalahan mengganggu
atau memecahbelahkan rumah tangga pasangan berkahwin sehingga mereka
bercerai mengikut Seksyen 36 dan Seksyen 37 Akta Jenayah Syariah Wilayah
Persekutuan 1997.
Puan juga boleh memujuk suami untuk berpindah tempat kerja demi menjauhkan suami dengan kekasih lamanya.
Terpulang kepada kebijaksanaan puan bagaimana mengurus konflik ini
sehingga berjaya. Apa yang penting ialah puan tidak boleh berputus asa
daripada terus mencuba dan mencuba. Sekiranya ikatan hati puan bersama
suami masih kuat insya-Allah, banyak pintu penyelesaian terbuka untuk
puan lalui. - SINAR HARIAN
0 Komentar untuk "Kenapa Harus Ada Orang Ketiga?"