Maka, kali ini kami ingin berkongsi tentang 10 Kesalahan Suami Kepada
Isteri yang banyak dilakukan terhadap isteri, yang mungkin menjadi sebab
kepada peningkatan kes penceraian di Malaysia.
1. Tidak Mengajarkan AGAMA dan HUKUM syariat kepada isteri
Banyak kita dapati para isteri tidak mengetahui bagaimana cara solat
yang betul, hukum haid dan nifas, berperilaku terhadap suami secara
tidak syar’ie dan tidak mendidik anak-anak secara Islam. Malah, ada yang
terjerumus ke dalam pelbagai jenis kesyirikan.
Yang menjadi perhatian seorang isteri hanyalah bagaimana cara memasak
dan menghidangkan makanan tertentu, cara berdandan yang cantik dsb. Ini
semua adalah kerana tuntutan suami, sedangkan masalah AGAMA, terutama
ibadahnya tidak pernah ditanyakan pula oleh suami.
Padahal Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Hai orang–orang yang
beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan
bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang
kasar, keras dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang di
perintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang
diperintakan”. Al-Quran, Surah At-Tahrim:6
Maka para suami diminta untuk tidak sesekali mengabaikan perkara ini
kerana semuanya akan diminta dipertanggungjawapkan keatasnya. Hendaklah
benar-benar mengajarkan agama kepada isterinya, baik dilakukan sendiri
atau melalui perantara. Antara lain yang dapat dilakukan adalah dengan
menghadiahkan buku-buku tentang Islam dan hukum-hukumnya serta
berbincang bersama-sama. Kaset/cd ceramah agama, mengajak isterinya
menghadiri majlis-majlis ilmu yang disampaikan oleh orang-orang yang
berilmu dsb. Yang paling praktikal, ajaklah solat berjemaah di rumah
bersama-sama.
2. Suka Mencari Kekurangan dan Kesalahan Isteri
Dalam satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah s.a.w melarang
lelaki yang berpergian dalam waktu yang lama, pulang menemui keluarganya
di waktu malam, kerana dikhuatirkan akan mendapati pelbagai kekurangan
isteri dan kemudian akan mencela isterinya. Malah, suami diminta
bersabar dan menahan diri dari kekurangan yang ada pada isterinya, juga
ketika isteri tidak melaksanakan kewajipannya.
Kerana suami juga mempunyai kekurangan dan celaan seperti sabda
Rasulullah: “Janganlah seorang suami yang beriman membenci isterinya
yang beriman. Jika dia tidak menyukai satu akhlak darinya, dia pasti
meredhai akhlak lain darinya.” H.R. Muslim
3. Memberi Hukuman yang Tidak Sesuai Dengan Kesalahan Isteri
Ini termasuk bentuk kezaliman terhadap isteri, antara lain iaitu:
- Menggunakan pukulan di tahap awal pemberitahuan hukuman. (Sila rujuk Al-Quran, Surah An-Nisa : 34)
- Mengusir isteri dari rumahnya tanpa ada kebenaran secara syar’ie. (Sila rujuk Al-Quran, Surah Ath-Thalaq: 1
- Memukul wajah, mencela dan menghina.
Dalam as-Sunan dan al-Musnan dari Mu’awiyah bin Haidah al-Qusyairi
bahawa dia berkata: “Ya Rasulullah, apakah HAK isteri atas suaminya?
Nabi s.a.w menjawab: “Hendaklah engkau memberinya makan jika engkau
makan, memberinya pakaian jika engkau berpakaian, tidak memukul wajah,
tidak menjelek-jelekkan dan tidak menghajar (boikot) kecuali di dalam
rumah.” H.R. Ibnu Majah disahihkan oleh Syeikh Albani
4. Culas Dalam Memberi Nafkah Kepada Isteri
“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun
genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan
kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu
menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan
menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita
kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu
menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang
tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri mahu
menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh)
mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah
(melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada
orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan
(upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah
kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat
akan apa jua yang kamu lakukan.” Al-Quran, Surah Al-Baqarah : 233
Isteri BERHAK mendapatkan nafkah, kerana dia telah membolehkan suaminya
bersenang–senang kepadanya, dia telah mentaati suaminya, tinggal di
rumahnya, mengasuh dan mendidik anak-anaknya. Dan jika isteri mendapati
suaminya culas dalam memberi nafkah, bakhil, tidak memberikan nafkah
kepadanya tanpa ada pembenaran syar’ie, maka dia boleh mengambil harta
suami untuk mencukupi keperluannya secara ma’ruf (tidak berlebihan)
meskipun tanpa sepengetahuan suaminya.
Sabda Rasulullah s.a.w: “Jika seorang muslim mengeluarkan nafkah untuk
keluarganya sedangkan dia mengharapkan pahalanya, maka nafkah itu adalah
sedekah baginya.” Muttafaq ‘alaih
5. Sikap Keras, Kasar, Tidak Lembut Terhadap Isteri
Rasulullah s.a.w bersabda: “Mukmin yang paling sempurna adalah yang
paling baik akhlaknya. Dan sebaik–baik kalian adalah yang paling baik
tehadap isteri-isterinya.” H.R. at-Tirmidzi, disahihkan oleh Syeikh
Albani
Maka suami hendaklah berakhlak baik terhadap isterinya dengan bersikap lembut dan menjauhi sikap kasar.
6. Kesombongan Suami Membantu Isteri Dalam Urusan Rumah Tangga
Inilah kesalahan yang paling banyak menjangkiti para suami. Padahal
lelaki yang paling utama yakni Rasulullah s.a.w tidak segan silu
membantu pekerjaan isterinya.
Ketika Aisyah rha ditanya tentang apa yang dilakukan Rasulullah s.a.w di
rumahnya, beliau menjawab: “Beliau membantu pekerjaan isterinya dan
jika datang waktu solat, maka beliau pun keluar untuk solat.” H.R.
Bukhari
7. Menyebarkan Rahsia dan Aib Isterinya
“Sesungguhnya diantara orang yang paling buruk kedudukannya di sisi
Allah pada hari kiamat adalah seseorang yang menggauli isterinya dan
isterinya menggaulinya kemudian dia menyebarkan rahsia-rahsia
isterinya.” H.R. Muslim
Dalam hadis ini, diharamkan seorang suami menyebarkan apa yang terjadi
antara dia dengan isterinya terutamanya di tempat tidur. Juga diharamkan
menyebutkan perinciannya, serta apa yang terjadi pada isterinya baik
berupa perkataan mahupun perbuatan lainnya.
8. Sikap Terburu-buru Dalam Menceraikan Isteri
Wahai suami yang mulia, sesungguhnya hubungan antara engkau dan isterimu
adalah hubungan yang kuat lagi suci, oleh kerana Islam menganggap
penceraian adalah perkara besar yang tidak boleh diremehkan kerana
penceraian akan menyeret kepada kerosakan, kacau bilaunya pendidikan
anak dsb.
Dan hendaknya perkataan cerai/talak itu tidak digunakan sebagai bahan
gurauan/mainan. Kerana Rasulullah s.a.w teleh bersabda: “Ada 3 perkara
yang kesungguhannya dan gurauannya sama-sama dianggap sungguh-sungguh
iaitu: NIKAH, TALAK (cerai) dan RUJUK.” H.R. Abu Daud, at-Tirmidzi dan
Ibnu Majah, dinilai “hasan” oleh asy-Syeikh Albani
Memang perselisihan antara suami isteri sering terjadi sehinggakan
kadang-kadang mengarah kepada penceraian. Akan tetapi penceraian ini
tidak boleh dijadikan sebagai langkah pertama dalam penyelesaian
perselisihan ini. Malah, harus diusahakan berbagai cara untuk
menyelesaikannya, keran kemungkinan besar akan banyak rasa penyesalan
yang ditimbulkan dikemudian hari.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya
di atas air (laut), kemudian dia mengutus para tenteranya. Maka tentera
yang paling dekat dengan Iblis adalah yang paling besar fitnahnya
(penyesatannya). Maka datanglah salah satu tenteranya dan melapor: Aku
telah melakukan ini dan itu, maka Iblis berkata: Engkau belum melakukan
apa-apa, kemudian datanglah tentera yang lain dan melapor: Aku telah
menggodanya hingga akhirnya aku menceraikannya dengan isterinya. Maka
Iblis pun mendekatkan tentera syaitan ini di sisinya lalu berkata:
Engkau tentera terbaik.” H.R. Muslim
9. Berpoligami Tanpa Memperhatikan Ketentuan Syari’at
Bernikah untuk kali kedua, ketiga dan keempat merupakan salah satu
perkara yang Allah syariatkan. Akan tetapi yang menjadi catatan di sini
bahawa sebahagian orang yang ingin menerapkan syariat ini telah
menerapkannya dengan tidak memperhatikan sikapnya yang tidak memenuhi
kewajipan serta tanggungjawab terhadap isteri. Terutama isteri pertama
dan anak-anaknya.
“Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinlah) seorang sahaja.” Al-Quran, Surah An-Nisa: 3
Sikap ini merupakan keadilan yang diperintahkan Allah s.w.t. Memang
benar berpoligami merupakan syariat Islam, tetapi jika seseorang tidak
mampu melaksanakannya dengan baik dan tidak memenuhi syarat-syaratnya
atau tidak boleh memikul tanggungjawabnya, perkara ini boleh menjuruskan
kerosakan sesebuah rumahtangga, menghancurkan anak-anak dan menambah
permasalahan keluarga dan juga kepada masyarakat. Maka fikirkanlah
akibatnya dan perhatikanlah dengan saksama perkaranya sebelum masuk
ke’dalam’nya.
10. Lemahnya Kecemburuan
Para suami membiarkan keelokan, keindahan dan kecantikan isterinya
dinikmati dan dipertontonkan oleh orang ramai. Dia membiarkan isterinya
menampakkan auratnya ketika keluar rumah, membiarkan berkumpul dengan
lelaki-lelaki lain. Malah, sebahagian orang bangga kerana telah memiliki
isteri yang cantik yang boleh dinikmati ‘pandangan’ kebanyakan orang.
Padahal wanita dimata Islam adalah makhluk yang sangat mulia, sehingga
keindahan dan keelokannya hanya diperuntukkan atau dikhususkan untuk
suaminya sahaja dan bukan untuk di’jaja’ kemana-mana pun.
Seorang suami yang memiliki kecemburuan terhadap isterinya tidak akan
membiarkan isterinya berjabat tangan dengan lelaki lain yang BUKAN
mahram.
“Ditusukkan kepala seorang lelaki dengan jarum dari besi lebih baik
daripada dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya.” Lihat
dalam ash-Shahihah : 226
Seorang suami yang memiliki kecemburuan terhadap isterinya, dia akan
memperhatikan sabda Rasulullah s.a.w: “Janganlah kalian masuk menemui
para wanita.” Lalu seorang Ansar berkata, “Wahai Rasulullah, bagaimana
dengan Al-Hamwu (kerabat suami)?” Beliau mengatakan, “Al-Hamwu adalah
kematian.” Muttafaq ‘alaih
Perhatikan juga ancaman Rasulullah s.a.w terhadap lelaki yang tidak
memiliki kecemburuan terhadap keluarga (isteri): “Tiga golongan yang
Allah s.w.t tidak akan melihat mereka pada hari kiamat iaitu seseorang
yang derhaka kepada kedua orang tuanya, wanita yang menyerupai lelaki
dan ad-Dayyuts” H.R. An-Nasa’i dinilai ‘hasan’ oleh syeikh Albani, lihat
ash-Shahihah : 674
Dan ad-Dayyuts (dayus) adalah LELAKI yang tidak memiliki kecemburuan terhadap keluarganya.
Semoga bermanfaat buat kita semua.. InsyaAllah.
Sumber Google
Sumber Google
0 Komentar untuk "10 Kesalahan Suami Terhadap Isteri"