Lebih-lebih lagi apabila Ziela tanpa berselindung berkongsi gambar kemesraan mereka menerusi laman Instagram dan Twitter miliknya. Niatnya lain namun tanpa disangka, gambar-gambar ini mencetuskan sensasi dalam kalangan peminat hingga ada yang mengkritik tindakan Ziela.
Lebih teruk, ada yang menganggap beliau mempermainkan agama kerana sanggup bergambar begitu sedangkan penampilannya nampak Islamik. Lebih biadap, segelintir mereka sanggup mengeluarkan ayat yang berunsur menghina terhadap ibu tunggal kepada tiga anak iaitu Puteri Julia Nabilah. Megat Jufri Nasrullah dan anak angkat Ibrahim Junid Abdullah.
Bercakap kepada Harian Metro, Ziela berkata beliau berhubungan baik dengan semua pelakon drama Ariana Rose dan tidak bersikap pilih kasih. Beliau juga memberitahu baru sekali berjumpa dengan Keith Foo, itupun selepas drama popular yang mencetuskan fenomema itu.
“Keith datang bertemu saya berkenaan isu kontraknya yang ada masalah sebelum ini. Sesudah itu kami bergambar. Ketika itu saya terfikir kalau masukkan gambar ini di Instagram pasti akan jadi isu. Tapi apa salahnya saya berkongsi gambar ini dengan peminat”
“Memang betullah selepas itu teruk saya kena kutuk. Mulanya saya tak nak jawab kerana beranggapan suka hatilah sesiapapun nak kutuk. Tapi saya bengang apabila ada yang kaitkan nama anak saya dan suruh mereka ajar saya. Tak perlulah nak ajar mereka sampai begitu sekali. Cara mereka bukannya nak menasihat tapi lebih untuk mengaibkan orang”
“Memang saya pegang tangan Keith dan saya tak katakan perbuatan ini betul, tapi cara menegur itu salah. Saya bukan sempurna, bagaimanapun sebagai manusia kita perlu amalkan adab hubungan dengan Allah SWT dan hubungan dengan manusia”
“Sekali lagi saya katakan cara menegur itu yang tak kena kerana ayat yang digunakan sangat melampau,” jelasnya dengan panjang lebar. (ROTIKAYA)
0 Komentar untuk " Ziela Jalil Tepis Tuduhan Menggatal Dengan Keith Foo"