>>>>>

MH370 : Anak Patut Pulang Dari Bulan Madu Esok


PUTRAJAYA -  "Hari ini teringatlah. Perasaan perempuan teringatkan anaknya, anak sulung... dia sayang lah...".

Demikian kata bapa seorang penumpang MH370, Zamani Zakaria, 56, menceritakan keadaan isterinya, Kamariah Sharif, 55, yang mengenangkan keadaan anak mereka Mohd Razahan, 23, ketika usaha mencari dan menyelamat sudah memasuki hari kelima, hari ini.

Isterinya, yang hadir ke tempat penginapan yang disediakan kepada waris penumpang pesawat malang itu kelihatan menangis semasa tiba di lobi Hotel Everly.

Menurut Zamani, isterinya itu amat menyayangi anak lelaki sulung mereka dan sering bergurau senda melalui telefon jika tidak berpeluang untuk berjumpa.

"Sebelum ini dapat berhubung, dan bergurau. Dia rindu.

"Dia (isteri) tak cakap apa-apa cuma dia rindu lah nak tahu anak dia ada kat mana sekarang.

"Sama ada hidup ke atau kalau hidup pun macam mana kehidupannya kat sana. Macam mana keadaannya kat sana," luah bapa ini.

Selain itu, Zamani yang datang dari Ipoh juga berkata, kesedihan isterinya itu ekoran terkenangkan jadual penerbangan  Mohd Razahan, di mana esok adalah hari sepatutnya anaknya itu pulang kembali ke tanah air.

"Ikut pada jadual itu, dia hari Khamis baru balik.

"Esok yang dia bagitahu (pulang) hari Khamis baru balik sini selepas berbulan madu di sana," katanya.
0 Komentar untuk "MH370 : Anak Patut Pulang Dari Bulan Madu Esok"

 
Copyright © 2014 Tabek Puang - All Rights Reserved
Template By Catatan Info