>>>>>

Penyepit Makanan Tercucuk Di Tekak Kanak-Kanak

 
 
BEIJING – Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun terpaksa menahan sakit selama beberapa jam selepas sebatang penyepit makanan tercucuk di tekaknya.

Kejadian di wilayah Hubei itu dipercayai berlaku ketika kanak-kanak itu yang berada di atas alat bantuan berjalan bermain dengan penyepit makanan sebelum terjatuh.

Kanak-kanak malang berkenaan dipercayai menggigit penyepit makanan itu menyebabkan ia tercucuk tekaknya ketika dia jatuh.

Ibu bapa mangsa yang bergegas mendapatkan anak mereka terkejut selepas mendapati mulut kanak-kanak itu berdarah dengan penyepit makanan tercucuk di tekak.

Kanak-kanak itu kemudian dikejarkan ke sebuah hospital di wilayah Hubei untuk rawatan lanjut.

Doktor pada mulanya terkejut apabila melihat kanak-kanak itu, tetapi mendapati kecederaannya tidak parah.

Selepas menjalani pembedahan selama satu jam, doktor berjaya mengeluarkan penyepit makanan berkenaan.

Doktor berkata, kanak-kanak itu bernasib baik kerana penyepit makanan tidak terkena saraf dan saluran darah penting.

Kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan stabil dan mungkin dibenarkan pulang beberapa hari lagi.
Ini bukanlah kejadian pertama kanak-kanak terpaksa dirawat di hospital selepas tercucuk penyepit makanan di China.

Awal tahun ini seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menjalani satu pembedahan selama beberapa jam selepas sebatang penyepit makanan tercucuk hingga ke otaknya.

Kanak-kanak berusia setahun itu dilaporkan sedang makan sebelum terjatuh menyebabkan penyepit makanan tercucuk ke dalam lubang hidung hingga ke otak.
-Agensi
0 Komentar untuk "Penyepit Makanan Tercucuk Di Tekak Kanak-Kanak"

 
Copyright © 2014 Tabek Puang - All Rights Reserved
Template By Catatan Info