>>>>>

Pintu Van Perisai Tiba-tiba Terbuka, Duit Tunai RM7 Juta Berterabur



HONG KONG – Puluhan pemandu di sebatang lebuh raya utama di sini berebut-rebut mengaut duit kertas berjumlah hampir HK$16 juta (RM7 juta) yang berterabur selepas pintu sebuah van perisai tiba-tiba terbuka menumpahkan beberapa kotak berisi wang tunai.

Kejadian berlaku di Gloucester Road petang semalam apabila van keselamatan itu dalam perjalanan menuju ke sebuah bank dan pemandu kenderaan tersebut mendakwa langsung tidak sedar bila pula pintu belakang van berkenaan sudah pun ‘ternganga’.

“Kami sedang siasat bagaimana pintu van boleh terbuka sendiri sama ada faktor teknikal, kecuaian pemandu atau memang dirancang penjenayah lain yang berjaya umpil pintu itu,” kata supritendan polis Hong Kong, Wan Siu-hung kepada pemberita tempatan.

Jarak dari tempat kotak-kotak tersebut jatuh pecah menumpahkan ribuan mata wang dollar Hong Kong itu dengan bank terbabit adalah dalam lingkungan setengah jam perjalanan biasa  dan kejadian berkenaan telah menyebabkan kesesakan teruk di laluan sibuk tersebut.

Stesen tempatan menunjukkan ramai pejalan kaki turut menyerbu kawasan itu manakala keadaan mula terkawal sejurus puluhan anggota polis lengkap bersenjata berat bergegas mengepung laluan terbabit dan mengutip semula baki wang yang tinggal.

Jurucakap polis meminta orang ramai yang mengambil wang berkenaan supaya lebih bertanggungjawab dan bersikap jujur dengan menyerahkan kembali duit tunai terbabit di balai polis untuk mengelak daripada dikenakan tuduhan mencuri harta awam.

Pakar-pakar perundangan berkata, polis boleh menahan pencuri wang tersebut jika membuat transaksi di bank kerana rekod nombor siri wang hilang itu sudah pun dimaklumkan kepada semua institusi perbankan bagi tujuan rujukan keselamatan. – Agensi
0 Komentar untuk "Pintu Van Perisai Tiba-tiba Terbuka, Duit Tunai RM7 Juta Berterabur"

 
Copyright © 2014 Tabek Puang - All Rights Reserved
Template By Catatan Info