>>>>>

Nelayan terkejut mayat manusia Dalam perut jerung



LIMA nelayan menemui sesuatu yang mengerikan apabila memotong perut seekor jerung harimau yang mereka tangkap di perairan sekitar Filipina.

Bodoy Gorgod, 48, berkata, dia dan rakannya menangkap ikan itu di laut antara Pulau Bohol dan Camigiun yang dianggar seberat 590 kilogram. Apabila memotong perut ikan itu, mereka menemui kepala dan sebelah kaki manusia.

“Ia sungguh memualkan. Kami tidak tahan baunya,” kata Gorgood kepada akhbar Minda News.

“Saya mula menangkap ikan ketika berusia 20 tahun dan ini kali pertama saya menemui anggota manusia dalam ikan,” kata Gorgod.

Nelayan berkenaan mencampakkan semula bangkai ikan itu ke laut kerana bimbang ia membawa nasib buruk jika dibawa pulang. Penduduk tempatan percaya kepala dan kaki itu milik seorang mangsa feri MV Maharlika yang karam di luar pantai Leyte Selatan pada 13 September lalu.

Kira-kira 100 penumpang diselamatkan oleh kapal yang berada di kawasan itu ketika itu, tetapi dua lagi diisytihar hilang.Seorang isteri kepada nelayan berkenaan berkata, dia akan membuang rahang dan sirip ikan yang dibawa pulang suaminya.

“Saya tidak mahu melihatnya selepas tahu jerung berkenaan memakan manusia. Saya bimbang roh mangsa akan datang ke rumah kami,” katanya, lapor Agensi.
0 Komentar untuk "Nelayan terkejut mayat manusia Dalam perut jerung"

 
Copyright © 2014 Tabek Puang - All Rights Reserved
Template By Catatan Info