UNITED KINGDOM, 16 Oktober:

Menteri Kesihatan Awam Belgium, Maggie De Block merupakan tokoh politik pertama yang dikritik, gara-gara terlalu gemuk untuk menjawat jawatan itu.

Menurut Mail Online, De Block yang juga pemimpin politik paling popular di Belgium dan pernah disebut-sebut bakal menjadi Perdana Menteri, mengejutkan orang ramai dengan pelantikannya sebagai Menteri Kesihatan.

Wanita berusia 52 tahun yang seberat 127 kilogram itu, dianggap bukan contoh baik buat rakyatnya yang sedang bergelut dengan masalah obesiti.

Kempen anti-Maggie yang diketuai wartawan stesen televisyen VRT Belgium berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat, Tom van de Weghe, mempersoalkan kredibiliti pemimpin berkenaan di laman Twitter miliknya.

Namun begitu, De Block yang juga seorang pengamal perubatan sejak 25 tahun lalu, bertindak membidas kritikan itu.

“Saya sedar saya tidak kelihatan seperti seorang model, tetapi anda harus melihat apa yang ada di dalam diri saya, bukan dari segi fizikal saya,” katanya.

Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia, sebanyak 47 peratus penduduk dewasa di Belgium didapati menghadapi masalah berat badan berlebihan, sejak 2008.