>>>>>

Maut Ketika Berjudi Ketika Solat Jumaat



TUMPAT – Seorang warga emas menemui ajal akibat serangan jantung selepas melarikan diri dari serbuan polis dalam kejadian judi sabung ayam di sebuah kebun rambutan di Kampung Kubang Panjang, Chabang Empat di sini, petang kelmarin.

Mangsa merupakan lelaki Melayu berusia 63 tahun dari Pasir Mas ditemui mati pada jam 6 petang, kira-kira 150 meter dari lokasi serbuan judi sabung ayam tersebut.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Supritendan Zaharudin Rasip berkata, mayat mangsa ditemui di lokasi tersebut selepas anggota polis membuat pemeriksaan di sekeliling lokasi serbuan.

“Mangsa dipercayai suspek kes judi yang cuba melarikan diri ketika serbuan dilakukan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan punca kematiannya akibat serangan jantung,” katanya.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan ketika solat Jumaat berlangsung oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis turut menahan 19 lelaki termasuk 10 lelaki Siam dan 9 lelaki Melayu ketika leka berjudi sabung ayam di dalam kebun rambutan itu.

“Empat daripada 19 suspek yang ditangkap gagal mengemukakan pengenalan diri, kesemua lelaki tersebut ditahan reman selama empat hari berakhir 24 Jun ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya,  kes ini disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Pertaruhan 1953, Seksyen 44(g) Ordinan Binatang 1953 dan Peraturan 25(1)(n) PPPN 1990.

Katanya, polis turut merampas 15 ekor ayam sabung, peralatan sabung ayam dan wang tunai RM725.

“Wang tunai dan ayam sabung itu digunakan suspek untuk dipertaruhkan dalam kegiatan judi tersebut,” katanya. - SINARHARIAN
0 Komentar untuk "Maut Ketika Berjudi Ketika Solat Jumaat "

 
Copyright © 2014 Tabek Puang - All Rights Reserved
Template By Catatan Info